November 25, 2012
KUALA
LUMPUR, 25 Nov ― Aktivis Himpunan Hijau berkeras tetap akan berada di
Dataran Merdeka sehingga jam 9 pagi esok walaupun pihak polis telah
memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas peserta perarakan hari
ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Teck berkata tindakan polis dan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan peserta masuk ke
Dataran Merdeka adalah tidak adil dan melanggar hak rakyat Malaysia yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bebas berhimpun dimana
sahaja.
“Saya akan tetap berada disini sehingga jam 9 pagi esok dan sedia berhadapan dengan sebarang tindakan.
“Tindakan polis dan DBKL yang tidak membenarkan kami masuk ke Dataran
Merdeka ini sesuatu yang tidak adil dan melanggar Perlembagaan,” kata
Wong.
Dalam pada itu, pihak polis semasa perbincangan dengan Wong
memberitahu langkah tersebut akan menyebabkan beliau boleh disiasat di
bawah Akta Perhimpunan Aman.
“Pihak polis boleh menyiasat pihak penganjur dibawah Akta
Perhimpunan, Seksyen 9(1) PAA kerana gagal memberikan sebarang notis ke
atas perhimpunan hari ini,” kata ketua polis daerah Dang Wangi, ACP
Zainuddin Ahmad semasa berbincang dengan Wong.
Selain pihak polis, DBKL juga memberikan amaran sama memandangkan
pihak penganjur tidak memberikan notis awal kepada mereka dan memberikan
alasan bahawa Dataran Merdeka sedang dalam proses baik pulih.
Namun, beberapa minit kemudiaan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia (Suhakam), Dr James Nayagam memberitahu kepada Wong bahawa DBKL
mengatakan beliau boleh meneruskan hasratnya untuk mendiami Dataran
Merdeka sehingga pagi esok tapi dengan syarat.
“Saya ada mesej kepada kamu Wong, DBKL benarkan kamu tinggal disini tapi dengan syarat tidak memasang khemah,” kata Nagayam.
Dalam perhimpunan hari ini, kira-kira empat hingga lima ribu peserta
Himpunan Hijau berarak dari Gombak ke Dataran Merdeka bagi menyatakan
bantahan ke atas Loji Nadir Bumi di Lynas, Pahang. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment