Tuesday, November 27, 2012

Pas relevan dalam realiti baru, Ulama Pelapis jawab Dr Asri

sinarharian
26 November 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulama, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam  dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti Umno yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.

Pas juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan Pas menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh Pas sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.

Doktrin yang perlu ditolak:

Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.

Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur. Justeru, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Makkah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).

Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan Pas:

Pas sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).

No comments:

Post a Comment