KUALA LUMPUR, 5 Mac — Rakyat Filipina yang berang berkumpul di
hadapan kedutaan Malaysia sejam selepas serangan oleh pasukan tentera
negara awal pagi tadi ke atas rakan mereka yang menceroboh ke Sabah.
Kedutaan negara di Manila ditutup jam 7 pagi tadi, sebaik sahaja
serangan ke atas penceroboh warga Filipina yang mendakwa diri mereka
sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu, lapor menerusi saluran berita
ABS-CBN di laman rasmi mereka.
Laman tersebut melaporkan kira-kira 100 rakyat Filipina — penganut
Katolik dan Islam — berkumpul bagi menyatakan bantahan ekoran serangan
ke atas penceroboh Sulu dan menyatakan sokongan kepada Kesultanan Sulu
terhadap tuntutan ke atas Sabah, manakala kira-kira 50 anggota polis
memantau keadaan.
Kumpulan
tersebut dilapor membakar gambar besar Presiden Filipina Benigno Aquino
III dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang sedang
berjabat tangan, lapor oleh Radio DZMM dalam laman
ABS-CBNnews.com yang turut memaparkan klip video pendek di dalam laman mereka.
Saluran radio tersebut berkata bantahan tersebut berpunca dari
ketidakpuashatian ke atas kerajaan Filipina kerana tidak mengambil
pendirian dalam membuat tuntutan keatas Sabah.
Bantahan jalanan tersebut berakhir selepas sejam setengah.
Dalam perkembangan terkini, pasukan keselamatan Malaysia yang terdiri
daripada unit tentera udara, tentera darat dan pasukan polis telah
melancarkan operasi serangan ke atas tempat pesembunyian penceroboh dan
ia disahkan oleh Najib sendiri dalam ucapannya ketika perhimpunan Ulama,
Umara dan Asnaf hari ini.
The Star Online melaporkan bahawa peperangan bermula antara
militan bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan awal pagi ini. Tembakan
telah didengar dan jet pejuang telah dilihat mengelilingi sekitar ladang
Felda Sahabat. Letupan didengar selama 40 minit di Kampung Tanduo,
lapor akhbar tersebut.
Sekumpulan 200 lelaki bersenjata, yang mendakwa mereka adalah Tentera
Kesultanan Sulu, telah menceroboh pada 9 Februari lalu bagi menuntut
Sabah.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata
semalam tujuh lagi batalion telah dihantar ke Sabah sejak Sabtu, dengan
lima di Lahad Datu dan masing-masing satu di Sandakan dan Tawau.
TMI
No comments:
Post a Comment