14 Mac 2013
Seorang isteri cedera di belakang leher
akibat dilibas pisau pemotong daging oleh suaminya yang naik berang
kerana keinginannya menikmati hidangan telur goreng tidak dipenuhi.
Dalam kejadian di rumah pasangan itu di
Taman Intan, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa berusia
24 tahun yang cedera, menyelamatkan diri dengan berlari mendapatkan
bantuan di rumah jiran.
Difahamkan, ketika kejadian suami mangsa
berusia 44 tahun, dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan
meminta mangsa menggorengkan telur.
Mangsa memberitahu suaminya telur sudah
habis tetapi suspek tetap mendesak isterinya menggorengkan telur
sehingga berlaku pertikaman lidah.
Berang dengan keengganan isterinya, lelaki
terbabit bertindak mengambil pisau pemotong daging lalu diacukan ke
belakang leher mangsa dan ketika pergelutan, leher wanita itu
tercedera.
Bimbang lebih teruk dicederakan, wanita itu
melepaskan diri sebelum meminta bantuan daripada jirannya yang kemudian
membuat laporan di Balai Polis Kapar.
Difahamkan suami mangsa bekerja sebagai
pemandu lori pasir sejak sebulan lalu dan sering pulang ke rumah lewat
malam dalam keadaan mabuk.
Tumpang rumah ibu bapa
Akibat kejadian itu, mangsa yang tidak bekerja kini menumpang di rumah ibu bapanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang
Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi
mengesahkan kejadian berkenaan dan menjelaskan kes disiasat mengikut
seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan
mengunakan senjata.
beritaharian
No comments:
Post a Comment