KUALA LUMPUR, 12 Mac — Pengakuan Azlan Mohd Lazim, bapa kepada
Mohd Saiful Bukhari berhubung insiden kes jenayah liwat yang melibatkan
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya menjadi alasan
yang kuat bagi Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk memulakan
pendakwaan kes Qazaf ke atas Saiful Bukhari di Mahkamah Syariah, kata
Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Naib
Presiden PAS itu menegaskan ianya selari dengan kuasa berkaitan
pendakwaan yang termaktub di dalam Seksyen 181 Akta Tatacara Jenayah
Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
“Pihak Ketua Pendakwa Syarie dan Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) tidak perlu lagi berdolak dalik dan mencipta perbagai
helah untuk tidak mendakwa Saiful Bukaari di atas kesalahan Qazaf,”
tegas Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, bapa kepada Saiful tampil ke hadapan mengakui kes liwat
kedua yang melibatkan anaknya dengan ketua pembangkang sebuah
“konspirasi politik jahat” untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan
Rakyat (PR) tersebut.
Azlan Mohd Lazim, 60, dalam satu sidang media tertutup juga
mendedahkan kes liwat tersebut telah dirancang rapi oleh seorang pegawai
khas di Pejabat Perdana Menteri sejak awal pendedahan kes liwat kedua
tersebut.
“Ini adalah konspirasi politik jahat untuk membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua,” kata Azlan kepada pemberita.
Sehubungan itu, ahli Parlimen Pokok Sena ini menggesa agar ketua
pendakwa syarie segera mengenakan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful atas
aduan Anwar sebelum ini.
“Saya mendesak supaya Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Perkutuan
mengenakan suatu pertuduhan Qazaf ke atas Saiful Bukhari Azlan di atas
aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar sebelum ini.”
Anwar pada 7 Januari tahun lalu telah memfailkan permohonan di
Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan
pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 24.
Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar, 63, menamakan Ketua
Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah
Jabatan Agama Islam wilayah, Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom sebagai
responden.
Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan
kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan
qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada
menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu. TMI
No comments:
Post a Comment