KUALA LUMPUR, 5 Mac — Jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani,
hari ini menafikan menerima dana daripada pembangkang Malaysia, dan
menegaskan sekiranya perkara itu benar, dia tidak akan menaiki
“kenderaan beroda tiga” untuk ke mana-mana.
Kenyataannya itu dikeluarkan kepada Radyo Inquirer 990AM, hari ini.
Adik kepada Sultan Jamalul Kiram III, Raja Muda Azzimudie Kiram, itu
mengetuai sepasukan 200 anggota militan Filipina yang mencetuskan
pertempuran di Lahad Datu, Sabah.
Pasukan keselamatan Malaysia telah memulakan serangan jam 7 pagi tadi
dengan dimulakan dengan bedilan menggunakan pesawat tempur.
Kumpulan penceroboh bersenjata Sulu di Sabah itu juga menerima
tentangan hebat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan mereka
tewas teruk pagi ini, menurut laporan The Star Online hari ini, memetik laporan polis.
“Kumpulan bersenjata Sulu tidak mampu melawan kekuatan pasukan
keselamatan Malaysia yang memulakan serangan jam 7 pagi Selasa, menurut
laporan polis,” kata laporan portal berita itu.
Tiada rakyat Malaysia terkorban dalam serangan tersebut tetapi jumlah
kematian dan cedera di kalangan penceroboh Sulu masih tidak diketahui,
kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pada sidang media jam
11:30 pagi hari ini.
The Star Online juga mengatakan situasi di pantai timur
Sabah, tempat di mana penceroboh dari Filipina itu bertempur dengan
anggota keselamatan negara dilaporkan dalam keadaan terkawal.
Pasukan keselamatan Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga
berikutan ugutan untuk bertindak balas daripada penceroboh yang mendakwa
diri mereka sebagai “tentera diraja” Kesultanan Sulu, menurut laporan
itu lagi.
Jurucakap kumpulan Sulu itu dilaporkan berkata mereka bersedia untuk
melawan walaupun bom dan tembakan menghujani mereka pagi ini.
Tentera Malaysia melancarkan serangan ke atas penceroboh di Kampung
Tanduo, Felda Sahabat, di Lahad Datu jam 7 pagi hari ini, kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya hari ini.
The Star Online melaporkan terdapat pertempuran terbaru
antara puak bersenjata Sulu dengan pasukan keselamatan hari ini. Tentera
sudah bersiap-sedia di kampung tersebut.
Bunyi tembakan kedengaran dan jet pejuang kelihatan mengelilingi
ladang Felda Sahabat, dan letupan kedengaran 40 minit dari Kampung
Tanduo, menurut laporan itu lagi.
Kumpulan seramai 200 orang, mendakwa sebagai Tentera Diraja
Kesultanan Sulu, mendarat di Sabah pada 9 Februari untuk mengambil
tuntutan sultan untuk negeri tersebut.
Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata tujuh
lagi batalion dihantar ke Sabah sejak Sabtu, dengan lima di Lahad Datu
dan masing-masing satu di Sandakan dan Tawau. TMI
No comments:
Post a Comment