KUALA LUMPUR, 14 Mac — Ahli politik Barisan Nasional (BN)
memberi reaksi kecewa dan sinis terhadap kenyataan bekas Timbalan
Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengatakan Malaysia tidak akan bankrap
sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan
raya akan datang.
Ahli parlimen BN menegaskan manifesto PR kekurangan kemapanan dan
kredibiliti, tidak seperti rekod BN yang telah terbukti berjaya
memerintah Malaysia untuk beberapa dekad lalu.
“Bagaimana sesiapa sahaja boleh meramalkan apa yang akan berlaku?” kata Datuk Chua Tee Yong kepada The Malaysian Insider di sini, merujuk kepada dakwaan Musa kerajaan PR akan bekerja keras untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Biro Profesional Muda MCA itu mengekalkan keraguan beliau PR
akan dapat untuk melaksanakan setiap janji di dalam manifesto pilihan
raya mereka tanpa menghabiskan tabung simpanan negara.
Akan tetapi ahli parlimen BN tidak menyerang Musa dengan jelas secara
peribadi kerana kedudukan beliau yang tinggi di kalangan rakyat
Malaysia.
Walau bagaimanapun, komen bekas pemimpin itu dalam satu wawancara Sinar Harian
yang diterbitkan semalam dan perbualan beliau secara peribadi tentang
Umno dan politik telah menyebabkan kebingungan di Putrajaya.
Ahli Parlimen Umno Tangga Batu Datuk Idris Haron mempertahankan
tuduhan bankrap, menjelaskan ianya dibuat dalam konteks mengkritik
manifesto PR dan bajet bayangan yang gagal untuk mengambil kira
kemapanan ekonomi.
“Mereka kata keuntungan daripada gejala rasuah dan korup yang dapat
mereka atasi, namun, ia hanyalah sekadar angka yang bukan dalam bentuk
fizikal,” kata Idris.
“Manifesto mereka juga dibuat tergesa-gesa dan ibarat seperti setengah masak.”
Setiausaha Agung MIC S Murugesan menyelar pakatan pembangkang kerana
gagal menunaikan janji mereka di Selangor, negeri yang buat pertama
kalinya jatuh dalam pilihan raya lepas.
“Pembangkang sepatutnya membuktikan terlebih dahulu di negeri yang mereka perintah,” kata Murugesan.
Chua bersetuju dengan Murugesan, mengatakan sebab Selangor berjaya
untuk terus bertahan adalah kerana PR telah gagal untuk menunaikan janji
mereka di negeri tersebut.
“Mereka tahu jika mereka laksanakan (janji-janji) itu, Selangor akan muflis,” kata Chua.
Ahli parlimen Labis itu juga meramalkan kerajaan persekutuan PR pasti
perlu mencari langkah-langkah lain untuk meningkatkan pendapatan
kerajaan, seperti meningkatkan cukai, jika mereka mahu Malaysia tidak
bankrap ketika cuba menunaikan janji.
Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Musa dilihat
mempertahankan PR, yang telah diramalkan oleh ahli-ahli politik dan
sesetengah pemerhati memihak kepada BN sebagai berkemungkinan untuk
menghabiskan tabung simpanan negara dan akan menakutkan pelabur-pelabur
asing dengan dasar-dasar awam dicadangkan dalam usaha mereka untuk
mengambil alih kuasa persekutuan.
“Jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari
luar negara lari. Mereka tidak akan buat sedemikian dan membuat ekonomi
bankrap,” kata Musa dalam satu sidang media pada Selasa.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa bulan
kebelakangan ini telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia tentang
mengundi untuk perubahan, berhujah ia akan menyebabkan kerajaan lemah
yang akan menghalang kemajuan ekonomi.
Semasa jamuan makan tengah hari bagi memperingati ulang tahun ke-64
MCA pada Januari, presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah
memberi amaran kepada ahli Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala
Lumpur (FBM-KLCI) akan jatuh 500 mata jika PR mula berkuasa.
PR pula cuba untuk mengubah persepsi serta meredakan kebimbangan,
dengan dua forum bertajuk “Menguruskan Ekonomi Semasa Peralihan Politik”
yang diadakan oleh Institut Rakyat berkait rapat dengan PKR semalam di
Pulau Pinang, dan sebelum ini di Kuala Lumpur.
Dalam forum dua hari lepas, pengarah eksekutif Institut Pulau Pinang
Prof Woo Wing Thye menggesa perubahan total perlu berlaku sebelum
Malaysia boleh memperbaiki ekonomi yang tersekat, diburukkan lagi oleh
politik.
Rakan panel beliau, ahli ekonomi Bank Islam yang digantung, Azrul
Azwar Ahmad Tajuddin telah meramalkan pemulihan ekonomi pantas di bawah
setahun sekiranya PR menang Pilihan Raya 2013.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun lepas, sedikit melebihi
kadar potensi ekonomi kira-kira lima peratus, firma penyelidikan Moody
Analytics melaporkan bulan lepas.
Ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara akan mengharungi pilihan
raya umum akan datang dan mengekalkan pertumbuhan kukuh walaupun
terdapat perubahan dalam kerajaan, kata penganalisis ekonomi terkenal
dunia Nouriel Roubini kepada Forum Datum Ekonomi 2013 di sini pada 1
Mac.
Parti-parti pembangkang PKR-DAP-PAS telah memenangi 82 daripada 222
kerusi di Parlimen dan empat negeri dalam Pilihan Raya 2008, menafikan
majoriti dua pertiga BN.
Malaysia dijangka akan mengadakan pilihan raya dalam beberapa minggu
akan datang, dengan penganalisis meramalkan kemungkinan berlaku
perubahan rejim buat pertama kalinya sejak kemerdekaan negara pada tahun
1957.
No comments:
Post a Comment