Harakahdaily, | 14 Mac 2013 |
KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM)
serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melemparkan
fitnah terhadap Pakatan Rakyat (PR) dengan tuduhan PR berusaha
menggagalkan Pilihanraya Umum ke-13 dengan mewujudkan keadaan porak
peranda.
“DPPM menganggap tuduhan TPM terlalu berat dan fitnah serta berunsur
hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat,”
kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada
Harakahdaily.
Katanya, sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan Muhyiddin
boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai dari
kalangan masyarakat.
“Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan
implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat khususnya
pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau?
“Apa akan jadi sekiranya masyarakat negara ini benar-benar
mempercayai kenyataan beliau dan akan terus mengambil langkah negatif
terhadap PR seperti membuat provokasi atau tindakan-tindakan ganas yang
lain?” tanya Riduan.
Katanya lagi, apakah tidak mungkin terjadi kenyataan itu menyebabkan
rakyat menjadi semakin takut untuk menghadapi pilihanraya serta tidak
mahu turun mengundi kerana takutkan sesuatu yang bakal terjadi.
Menurutnya, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah
keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM
sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan sesama rakyat serta
sindrom ketakutan kepada rakyat.
Beliau berkata, TPM sepatutnya berusaha mententeramkan rakyat serta
memberi dorongan supaya rakyat dapat bersama-sama menyuburkan demokrasi
di negara ini.
Tambah beliau, pilihanraya adalah suatu proses yang mesti disertai
oleh semua rakyat dan ia pula melibatkan parti-parti politik yang
bertanding bagi menentukan kepimpinan negara.
Katanya, kenyataan itu akan memberi reputasi yang buruk ke atas PR
dan pemimpinnya dan menjadi kempen buruk terhadap PR serta penyokongnya.
Beliau menambah, Muhyiddin juga telah menghina jutaan rakyat negara
ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan
kenyataan sedemikian.
“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen
yang dipercayainya seperti dakwaannya, DPPM mencabar TPM untuk
mendedahkan butiran dokumen tersebut.
“Sekiranya beliau gagal mengemukakan bukti bahawa ada usaha PR untuk
mencetuskan suasana porak peranda DPPM tidak teragak-agak untuk mendesak
pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment