PETALING JAYA, 10 Jun – Pakatan Rakyat (PR) telah membuat
keputusan menunda tarikh Himpunan “Black 505” ke 22 Jun depan ekoran
berlaku pertindihan dengan dua program yang berlangsung pada tarikh awal
perancangan pada 15 Jun pada hujung minggu ini.
Pengarah
Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pihaknya menegaskan tidak akan
berlaku sebarang perubahan selepas ini walau apa pun alasan yang
diberikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ini adalah ketetapan akhir dan tidak akan ada sebarang perubahan
selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL,” katanya kepada
pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.
Jelas Rafizi (gambar), pihaknya menerima maklum
bahawa pada 15 Jun itu ada dua program yang berlangsung di Padang Merbok
iaitu perkahwinan dan juga karnival kitar semula yang telah membuat
permohonan lebih awal.
Rafizi menegaskan, permohonan untuk menggunakan Padang Merbok pada
tarikh 22 Jun juga telah dibuat pada Jumaat, 7 Jun lepas dan pihaknya
turut mengenal pasti tiada sebarang pertindihan dengan mana-mana program
pada tarikh tersebut.
“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah
Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) bermain politik
dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” tegas ahli Parlimen Pandan
itu lagi.
Rafizi turut mengingatkan Tengku Adnan, majoriti penduduk di Wilayah
Persekutuan bersama dengan PR dan Setiausaha Agung Umno itu tegasnya
perlu menghormati hasrat rakyat yang mahu berhimpun di padang milik
rakyat itu.
Bagi tujuan itu juga Rafizi memaklumkan notis kepada Pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar esok, seperti dituntut PDRM iaitu
tempoh 10 hari daripada himpunan itu berlangsung.
“Kita menjangkakan bilangan peserta minimum 300,000 orang ...
Walaupun padang itu hanya mampu menampung sekitar 50,000, namun ia
mempunyai kawasan lapang yang luas di sekitarnya,” kata Rafizi.
Himpunan pada 22 Jun itu juga jelasnya hanya akan bermula sekitar jam 12 tengahari.
Rafizi turut mengulangi tiga tuntutan Black 505: perletakan jawatan
anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota baru dilantik secara
bersama dengan PR; pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen; dan
hentikan usaha meminda undang-undang. Pilihan raya atau persempadanan
semula sehingga kesemua anggota SPR dilantik daripada muka baru.TMI
No comments:
Post a Comment