KEADAAN sebuah rumah teres dua tingkat yang musnah dan mengorbankan nyawa Norizza di Puchong semalam.
SUBANG JAYA - Seorang wanita yang rentung dalam kebakaran sebuah
rumah teres dua tingkat di Taman Puchong Indah di sini semalam sempat
menjerit meminta tolong selama 15 minit sambil berpaut pada jeriji
tingkap biliknya.
Lebih menyayat hati, dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, suami
dan empat anak mangsa yang berusia empat hingga 13 tahun hanya mampu
melihat wanita itu meraung seorang diri sebelum dijilat api.
Difahamkan, suara mangsa boleh didengari dari jarak 50 meter dari rumahnya menyebabkan jiran-jiran terjaga daripada tidur
Kira-kira 30 penduduk kawasan perumahan itu bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak.
Mayat Norriza Mat Salleh, 36, yang merupakan pegawai khidmat
pelanggan ditemui rentung oleh pasukan bomba di dalam bilik tidur utama
di tingkat atas dipercaya akibat terperangkap kerana asap tebal selain
api marak.
Menurut anak sulung Norriza, Mohd. Aiman Hakimi Azahar, 13, ketika
kejadian dia sedang tidur di ruang tamu di tingkat bawah sambil menemani
bapanya menonton televisyen manakala ibu dan tiga adiknya tidur di
tingkat atas di dua buah bilik berasingan.
"Saya menyedari berlaku kebakaran selepas ayah kejutkan saya daripada
tidur. Ayah naik untuk kejutkan ibu dan adik-adik di tingkat atas dan
bawa turun tiga adik saya tetapi emak tidak ikut bersama," katanya
ketika ditemui di Hospital Serdang.
Menurut Aiman, bapanya, Azahar Samsudin, 40, cuba naik semula ke
tingkat untuk menyelamatkan ibunya, namun terpaksa membatalkan hasrat
itu kerana api merebak dengan cepat.
Difahamkan, seorang penduduk juga cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana tangga rumah itu musnah dijilat api.
Sementara itu, jiran mangsa, Siti Rabiatul Adawiyah Mahmud, 29,
memberitahu, penduduk hanya mampu melihat kejadian itu sementara
menunggu pasukan bomba tiba.
"Suara dia sangat kuat. Saya dapat dengar dengan jelas dia menjerit
meminta tolong dan berkata 'panas... panas' sambil berpaut pada jeriji,"
katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nurul Jannah Yusof, 26, pula mendakwa, dia yang sedang tidur terjaga
kerana mendengar suara orang menjerit yang disangkanya kejadian samun.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Jaya, Jafri
Amat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.53 pagi dan tiba
di lokasi kejadian 20 minit kemudian.
"Api dapat dikawal dalam masa 20 minit. Kelewatan pasukan bomba tiba
adalah disebabkan jentera sedia ada pergi ke lokasi kebakaran lain di
Kampung Kenangan, Puchong," katanya yang mendapat bantuan dari Balai
Bomba Petaling Jaya dan Subang Jaya.
No comments:
Post a Comment