MCA
menggesa pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba
bertanggungjawab sekiranya khalayak yang menonton filem berkenaan tidak
berpuas hati dan mencetuskan ketegangan kaum.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) berkata, adegan
sekumpulan pemuda Cina kencing di laman Menteri Besar Selangor Datuk
Idris Harun akan menyebabkan penonton berasa kurang senang dan pihak
penerbitan harus bersedia menerima kritikan.
Wee berkata, meletakkan kesalahan sesuatu kaum dengan menggambarkan
babak yang tidak tepat berhubung tragedi 13 Mei 1969 adalah satu
tindakan tidak bertanggungjawab.
"Pihak penerbitan Tanda Putera membantutkan usaha pendamaian nasional
yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apatah lagi
dengan sambutan hari kemerdekaan negara yang akan tiba tidak lama lagi,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pengarah tidak sewajarnya menggunakan alasan sejarah bagi membuat
penipuan dan kebencian antara kaum di Malaysia. Filem cereka atau
berdasarkan kisah benar seharusnya boleh dibezakan oleh pengarah filem
itu," katanya.
Hari ini DAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) berhubung kejadian rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam mesyuarat
Kabinet esok.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata filem Tanda Putera mendapat
pembiayaan kerajaan bagi menerbitkan filem sejarah berlatarbelakangkan
peristiwa 13 Mei namun gambaran tidak tepat mampu mencetuskan ketegangan
kaum.
Beliau berkata, Tanda Putera seharusnya dijadikan medan menyampaikan
kebenaran dengan memaparkan peristiwa sebenar 13 Mei 1969 namun filem
berkenaan memberi gambaran tidak tepat menyebabkan generasi muda
terkeliru apa sebenarnya yang berlaku semasa peristiwa berdarah itu.
"Shuhaimi tidak seharusnya menjadikan Tanda Putera sebagai sebuah filem
pontianak yang pernah diarahkannya dahulu dengan memberi gambaran tidak
tepat berhubung rusuhan kaum berkenaan kepada generasi muda.
"Pengarah mesti menyenaraikan babak cereka atau peristiwa yang tidak
tepat berhubung kejadian 13 Mei dalam filemnya supaya tidak terus
menyelewengkan kebenaran peristiwa 13 Mei.
“Perakuan ini penting kerana Shuhaimi mengakui Tanda Putera sebagai
sebuah filem fiksyen yang berlatarbelakangkan peristiwa 13 Mei," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, berdasarkan pandangan penonton yang menonton filem
berkenaan, mereka mendapati filem berkenaan terdapat unsur cereka atau
kejadian tidak benar mengenai 13 Mei yang boleh memberi kecelaruan dalam
masyarakat dan menyemarakkan api kebencian antara kaum.
Katanya, berdasarkan pandangan mereka yang telah menonton filem itu,
beberapa babak rekaan dikenal pasti antaranya beberapa pemuda kencing di
tiang bendera di laman rumah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Idris
Harun dan babak kekecohan di pawagam yang meminta kaum Cina meninggalkan
tempat itu. – 27 Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment