Fauzi
Tahir (gambar) bukanlah nama besar di dalam PAS. Tetapi langkah yang
beliau ambil untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyebabkan
namanya terkenal ke seluruh negara.
Yang Dipertua PAS kawasan Padang Serai ini mengambil keputusan untuk
bertanding jawatan Presiden PAS dalam muktamar PAS ke-59 yang akan
diadakan 22 hingga 24 November di Shah Alam, Selangor.
Namun usahanya itu tidak kesampaian apabila beliau hanya mendapat satu
pencalonan sahaja iaitu dari kawasannya sendiri, Padang Serai, sedangkan
perlembagaan PAS meletakkan syarat sekurang-kurangnya dua pencalonan
untuk melayakkan seseorang calon bertanding.
Namun hasrat Fauzi, 55 tahun, untuk membuktikan demokrasi hidup subur
di dalam PAS berjaya. Selain mahu membuktikan demokrasi hidup subur,
Fauzi juga mahu membuktikan pemimpin bukan maksum di dalam PAS. Mereka
ada kelemahan dan kecacatannya selaku manusia biasa.
"Saya mahu beritahu ahli dan semua pihak bahawa dalam PAS ini pemimpin
bukan maksum. Jadi ada kelemahannya," kata Fauzi kepada The Malaysian
Insider.
Berbekalkan dua hasrat itulah, Fauzi menawarkan diri untuk bertanding
jawatan Presiden PAS, jawatan yang paling berkuasa dalam menentukan hala
tuju parti Islam itu.
Fauzi yang sudah 10 tahun atau lima penggal memimpin PAS Padang Serai
mula menyampaikan hasratnya mahu bertanding jawatan tertinggi PAS itu
ketika memberikan ucapan penangguhan Mesyuarat Agung PAS kawasan Padang
Serai beberapa bulan lalu.
Ketika itu beliau sudah diumumkan sebagai YDP kawasan setelah menang tanpa bertanding.
Apabila perwakilan mesyuarat agung itu membuat keputusan menyerahkan
urusan pencalonan kepimpinan tertinggi PAS, Fauzi memohon dari AJK PAS
kawasan untuk mencalonkan beliau sebagai presiden PAS.
"Memang tidak semua AJK saya bersetuju ada yang membantah. Tetapi
selepas berbincang mereka bersetuju dengan hasrat saya itu," kata Fauzi
mengimbau kembali apa yang berlaku dalam mesyuarat AJK PAS kawasan
Padang Serai yang pertama selepas mesyuarat agung tahun ini.
Fauzi sedar sudah tentu ada pihak yang marah dan tidak bersetuju dengan
langkah beliau itu seolah-olah mahu memalukan Abdul Hadi selaku
presiden PAS, namun Fauzi berpuashati dengan keputusan yang telah beliau
ambil itu.
"Tujuan saya jelas untuk kepentingan PAS dan tidak ada niat untuk malukan Tuan Guru Presiden," kata Fauzi.
Walaupun sedar ramai yang tidak suka dengan keputusan beliau itu namun
tidak ada seorang pun pemimpin PAS peringkat pusat atau negeri yang
memarahi atau menasihat beliau.
"Yang jumpa saya semua senyum-senyum saja," kata Fauzi, seorang pembantu teknik di sebuah jabatan kerajaan.
Ketika ditanya, apa yang mendorongnya menawarkan diri, adakah kerana
tidak berpuashati dengan presiden Presiden PAS yang ada, Fauzi memohon
untuk tidak menjawab soalan itu.
"Biarlah, tak payah saya jawab soalan itu," kata Fauzi. – 19 November, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment