Menteri
Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) hari ini mengumumkan
rizab yang dimiliki Selangor kini adalah yang tertinggi pernah dicapai
dalam sejarah negeri itu iaitu sebanyak RM2.712 bilion pada 31 Oktober
tahun ini.
Bagaimanapun beliau ketika pembentangan Belanjawan 2014 dilihat
mempertahankan tindakannya mengumpul rizab negeri dengan berkata
suara-suara yang mengecam beliau datang daripada mereka yang kurang arif
mengenai selok belok pengurusan kewangan.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa pembinaan rizab berserta
perbelanjaan berhemah mengikut konsep keutamaan yang betul merupakan
paksi disiplin fiskal dan sebahagian daripada rangka pengurusan kewangan
dan fiskal jangka panjang," katanya dalam Pembentangan Belanjawan 2014
di sidang Dewan Negeri Selangor .
Menteri Besar itu turut mengulas Selangor telah menyumbang hampir 25% peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Biarpun ekonomi negeri dijangka berkembang 6.2% pada tahun tahun 2013
Khalid mengakui ia lebih perlahan berbanding 7.1% yang dicapai tahun
2012.
"Unjuran pertumbuhan perlahan ini berdasarkan kelesuan beberapa
petunjuk makro utama dan prestasi sederhana bagi statistik beberapa
sektor utama di sepanjang tiga suku tahun pertama 2013.
"Bagaimanapun, momentum ekonomi negeri Selangor dijangka tidak banyak berubah pada tahun 2014 berbanding 2013, " katanya.
Khalid berkata, kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN)
perlu mencontohi cara pengurusan pentadbiran kerajaan Selangor dibawah
Pakatan Rakyat.
Ini kerana sepanjang lima tahun PR menerajui Selangor, amalan
berbelanja yang penuh disiplin serta berhemah telah membuktikan
kejayaan.
" Kerajaan negeri tiada sebarang justifikasi membentangkan belanjawan
defisit tanpa kapasiti meminjam dari mana-mana institusi kewangan.
" Jauh sekali mengemis dan meminta sedekah daripada kerajaan
persekutuan untuk menampung perbelanjaan mentadbir negeri sendiri,
"katanya.
Malah katanya, pada pembentangan Bajet 2014, BN hanya dapat mensasarkan
belanjawan berimbang menjelang 2020 meskipun melaksanakan cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ini berbeza dengan Bajet Alternatif Pakatan Rakyat dimana syor PR dapat
mencapai belanjawan berimbang menjelang 2017.– 19 November, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment