MCA
membidas lawannya DAP kerana gagal menghalang rakan komponennya dalam
Pakatan Rakyat (PR) daripada melaksanakan hukum Hudud, susulan
pengumuman hasrat kerajaan PAS negeri Kelantan meneruskan pelaksanaan
undang-undang Islam tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Loh Seng Kok (gambar), berkata sebarang
kenyataan DAP yang lantang mengkritik pelaksanaan hukum Hudud tidak
relevan lagi.
"Kenyataan ketua Mahkamah Syarie Kelantan yang sedia melaksanakan Hudud
jika kerajaan negeri sedia menguatkuasakannya membuktikan sebarang
kenyataan oleh pemimpin DAP mengenai Hudud tidak relevan lagi," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Loh turut membidas PR kerana gagal mencapai kesepakatan dalam isu
melibatkan hukum Hudud, dan kritikan selama ini hanya bertujuan
melindungi wajah sebenar PAS yang tetap mahu melaksanakan undang-undang
Islam tersebut.
"Pemimpin Pakatan sengaja cuba melindungi tindakan PAS.
"Mereka sering berkata hukum Hudud yang dibawa PAS tidak akan
dilaksanakan tanpa konsensus. Namun, tiada sebarang tindakan di kalangan
pemimpin Pakatan diambil untuk mengkritik PAS," katanya.
Loh berkata, tidak akan ada jalan untuk berpatah balik sekiranya pelaksanaan hukum Hudud tetap diteruskan.
"Ia jelas menunjukkan kerajaan negeri sedia ada meluluskan pelaksanaan hukum Hudud PAS.
"Jika dikuatkuasakan, tiada jalan berpatah balik. Apa janji sekali pun oleh pembangkang, ia pasti sudah terlambat," katanya.
Rabu lalu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata
Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud kerana
prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.
Selepas pengumuman tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk
Mohd Amar Nik Abdullah menyahutnya dengan baik dan berkata, kerajaan
negeri Kelantan sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal itu bagi mengkaji
pelaksanaan hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran itu di negeri
yang diperintah PAS sejak lebih 20 tahun.
Cadangan tersebut turut mendapat sokongan pemimpin Umno yang juga Ahli
Majlis Tertinggi parti itu,Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan langkah
tersebut kena dan sesuai pada masanya.
Bagaimanapun, penganalisis politik Profesor Datuk Dr Mohammad Agus
Yusof, berkata cadangan pelaksanaan hukum Hudud di negeri Kelantan masih
memerlukan kelulusan Putrajaya sekiranya pemerintah negeri tersebut PAS
berhasrat untuk meneruskannya.
Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam
tersebut bermula sejak tahun 1993 selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah
II (Hudud) mendapat persetujuan lebih satu pertiga ahli dewan rakyat
ketika itu tetapi tidak diteruskan atas alasan kerajaan pusat ketika itu
di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang
pelaksanaannya.
Pengumuman pelaksanaan hukum Hudud tersebut dijangka mengundang rasa
kurang senang terutama di kalangan masyarakat bukan Islam dalam negara.
Selain itu, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA serta rakan PAS
dalam Pakatan Rakyat, DAP sebelum ini menentang pelaksanaan
undang-undang Islam tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan. - 16 November 2013.
No comments:
Post a Comment