Sasterawan
Negara Datuk A. Samad Said mengambil pendekatan memencilkan diri dari
menghadiri majlis rasmi kerajaan meskipun terdapat undangan oleh
sebilangan jabatan kerajaan yang menjemput beliau ke majlis anjuran
mereka.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, sejak
kebelakangan ini terdapat jabatan kerajaan menghantarkan undangan
menjemput beliau ke majlis rasmi, yang menurutnya, tidak pernah berlaku
beberapa tahun sebelumnya setelah beliau bergiat aktif sebagai aktivis
dalam badan bukan kerajaan (NGO).
"Sejak beberapa bulan ini, ada semacam perubahan sikap dalam pihak
tertentu seperti saya dijemput menghadiri beberapa jemputan majlis rasmi
yang tidak pernah berlaku dalam tahun-tahun sebelumnya.
"Saya fikir hal ini berlaku disebabkan penglibatan saya dalam NGO
selain saya tidak menyahut jemputan majlis seperti meraikan sasterawan
negara yang saya tidak hadiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini,”
katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Pak Samad dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0 pada Januari
tahun lalu setelah penglibatannya yang menjadi antara tonggak utama
menggerakkan perhimpunan Bersih pada Julai 2011.
Bersih 2.0 turut dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan sehingga
30 November ini sebelum ia diambil alih oleh Maria Chin Abdullah yang
juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu pertubuhan itu.
Antara tuntutan Bersih 2.0 kepada pihak kerajaan adalah pendaftaran
pengundi secara automatik ketika berusia 21 tahun, pembaharuan sistem
undi pos untuk pengundi luar bandar, penggunaan dakwat yang tidak dapat
dipadamkan bagi mengelakkan undi berulang dan beberapa tuntutan lain.
Sasterawan Negara yang akan meraikan harijadi ke-82 pada Februari tahun
hadapan itu walau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak tertentu atas
keputusannya memencilkan diri sebaliknya mengambil pendekatan sedemikian
untuk mengelak perasaan tidak selesa tetamu kehormat dalam sesebuah
majlis.
"Jabatan tertentu dalam kerajaan masih menjemput saya. Bukan kerana
tidak melayan tetapi saya tidak mahu memalukan pihak tertentu seperti
sidang bergambar rasmi.
"Saya elak itu. Meskipun ada jemputan tetapi sudah tidak sekerap dulu.
Saya fikir mereka juga dapat menghidu saya tidak selesa,” katanya.
Apabila ditanya pendapat tentang pelantikan Maria sebagai Pengerusi
Bersih 2.0 yang baru, beliau berkata cabaran Maria tidak sebesar Ambiga
kerana pengerusi baru itu masih tidak tercemar dengan kontroversi kaum
dan agama.
Katanya, meskipun beliau tidak lagi memimpin pertubuhan mendesak
pilihan raya bersih dan adil itu tetapi sokongan orang Melayu terhadap
Bersih 2.0 akan tetap berterusan.
“Saya melihat seteru itu akan ada tetapi dengan Maria, sasarannya tidak
seperti yang berlaku ke atas Ambiga. Saya fikir Maria tidak bertitik
hitam dari segi kaum dan agama.
“Tentu ada orang Melayu yang tertentu memberikan sokongan kerana dalam
PAS sekali pun, orang Melayu ada yang melanggar (peraturan) demi
kepentingan siasah dan demokrasi," katanya yang berpendapat sokongan di
kalangan orang Melayu tidak terbentuk secara spontan tetapi sememangnya
kumpulan yang dibina untuk menyerang.
Pak Samad turut menasihatkan Maria tidak perlu bimbang untuk memimpin
pertubuhan itu kerana dirinya dilantik daripada suara gabungan NGO yang
bersedia mempertahankan kepimpinannya.
Mengimbas kembali penglibatannya
mengepalai Bersih 2.0, Pak Samad berkata kehadirannya dalam organisasi
itu bagi membuang rasa kebencian sesetengah pihak terhadap Ambiga.
"Saya didatangkan ke Bersih 2.0 untuk mengelak rasa seteru terhadap
Ambiga oleh kelompok masyarakat tertentu. Saya fikir itu tidak bagus
untuk NGO yang hasratnya untuk memurnikan demokrasi.
"Itulah sebabnya apabila saya dijemput menjadi pengerusi bersama,
perhitungan saya adalah bagi menyelamatkan Bersih 2.0 daripada dicemari
dari sudut bangsa dan agama," kata sasterawan itu yang pernah disoal
siasat polis berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam
ambang kemerdekaan lalu.
Beliau berkata semasa memimpin Bersih 2.0, isu kaum dan agama telah
dijadikan alat serangan pihak tertentu maka menjadi tanggungjawabnya
memelihara pertubuhan itu supaya tidak dicemari dengan perangkap
tersebut.
"Kita sudah lihat sekarang bangsa dan agama dijadikan senjata untuk
menyerang maka saya tidak banyak mengganggu apa yang dilaksanakan Ambiga
kerana saya tahu peranan saya memelihara Bersih 2.0 supaya tidak
dicemari andaian tersebut.
"Saya sering dihujani pertanyaan mengapa saya harus bersekutu dengan
Ambiga. Saya tidak membezakan insan berdasarkan agama yang sememangnya
dilahirkan berbeza-beza. Pemahaman saya itu tidak berantakan malah saya
rasa damai di tengah mereka," katanya. – 17 November, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment