Jawatankuasa
Pemilihan PAS sedang membuat kajian mendalam terhadap tuduhan seorang
pensyarah terhadap dua pemimpin PAS dalam satu majlis anjuran parti itu
di Perak baru-baru ini.
Pengerusinya Asmuni Awi berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan itu
dan setelah cukup maklumat, ia akan diserahkan lepada Lembaga Disiplin
PAS untuk diambil tindakan.
Dalam majlis Liqa' Fikri (bercambahan pemikiran) anjuran Lajnah
Tarbiyah PAS Perak itu, seorang penceramah program yang disertai ahli
dan pemimpin PAS itu didakwa membuat pelbagai tuduhan terhadap dua
pemimpin PAS iaitu Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr
Dzulkefly Ahmad dan ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Dr Mujahid Rawa.
Penceramah yang merupakan ahli jawatankuasa Penyelidikan dan
Pembangunan (R&D) Dewan Ulama PAS Pusat itu didakwa menghamburkan
kata-kata kesat yang tidak dibenarkan dalam garis panduan menjelang
muktamar PAS.
"Kita sedang kaji sama ada tindakan itu perlu diambil ke atas pihak
penganjur atau penceramahnya. Apa-apapun, kita hanya akan siapkan
laporan dan serahkan kepada Lembaga Disiplin PAS yang dipengerusikan
oleh Datuk Wan Mutalib Embong untuk bertindak," kata Asmuni kepada The
Malaysian Insider.
Selain kes di Perak itu, Jawatankuasa Pemilihan PAS juga sedang
menyiasat satu poster yang dibuat terhadap calon ketua Pemuda PAS,
Zulhazmi Sharif.
Dalam poster yang disebar luas dalam Facebook itu, muka Zulhazmi
diletakkan gambar anjing bersama muka dua lagi calon ketua pemuda iaitu
Suhaizan Kayat dan Kamaruzaman Mohamad.
"Kita sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab ke atasnya. Jika
mempunyai bukti kita akan serahkan kepada Lembaga Disiplin PAS untuk
bertindak ke atas orang berkenaan," kata Asmuni.
Selain kedua-dua kes itu, jawatankuasa yang dipimpin Asmuni itu juga
menerima lima lagi aduan daripada pelbagai pihak dalam PAS yang membuat
aduan tentang perjalanan kempen menjelang Muktamar PAS ke-59, 22 hingga
24 November ini.
Sebelum ini, Asmuni dalam sidang medianya menegaskan tidak akan
berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat laporan yang
mendakwa calon menyalahi peraturan yang telah ditetapkan.
Ini termasuklah pelanggaran peraturan yang melibatkan persaingan tidak
sihat seperti terdapatnya unsur sabotaj bagi menjatuhkan calon lain. –
18 November, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment