DBKL 
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat semalam menolak usul bagi membincangkan isu berkaitan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menaikkan nilaian tahunan hartanah pada kadar lebih 100 peratus bermula Januari 2014.
Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang) membawa usul itu dibawah Perkara 18 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul itu kerana sudah ada satu usul yang diterima dan Dewan Rakyat tidak boleh membahas lebih dari satu usul.

Menurut Kui Lun, kenaikan nilaian hartanah itu menyebabkan cukai taksiran tahunan yang perlu dibayar pemilik kediaman bertambah tinggi dan membebankan.
"Isu ini perlu dibincangkan segera kerana DBKL akan menguatkuasakan nilai baru itu pada 1 Januari 2014.
"Dengan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, jumlah baru yang akan ditetapkan DBKL itu adalah tidak munasabah apabila membuat kenaikan lebih 100 peratus," katanya.

Tambah beliau, alasan yang diberikan DBKL bahawa cukai itu sudah 21 tahun tidak dinaikkan juga tidak masuk akal.
Selain itu, notis yang diberikan terlalu singkat untuk penduduk memberi respons dengan baik.
"Ramai yang terkejut apabila menerima notis itu kerana kenaikannya terlalu mendadak. Contoh sebuah rumah di Seputeh, dulunya dengan nilaian RM8,760 dinaikkan menjadi RM18,000."

Kenaikan nilai tahunan dan cukai taksiran itu dianggarkan melibatkan 500,000 unit hartanah di Kuala Lumpur," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ahli Parlimen PR akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 21 November depan.
Sementara itu Teo Nie Ching (DAP - Kulai) menggesa kerajaan bersikap lebih telus apabila melibatkan penggunaan wang hasil cukai rakyat.

Beliau mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang enggan mendedahkan bayaran dibuat kerajaan terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah yang  mengendalikan kes terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nancy dalam jawapannya kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sesi perbahasan minggu lalu memberitahu perkhidmatan yang diberikan Shafee adalah dengan bayaran nominal dan jumlah itu tidak boleh didedahkan bagi menghormati etika hubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan pelanggan.