Kadir dalam blognya The Scribe berkata, satu keanehan atau ironi kerana
Najib adalah PM Malaysia yang paling buruk prestasi pilihan raya (sejak
krisis 13 Mei 1969), tetapi tidak tercabar.
"Adakah ini disebabkan oleh Umno ketandusan bakat kepemimpinan atau
sudah menjadi begitu autokratik sehingga presiden tidak boleh dicabar
lagi," katanya.
Atau, katanya, adakah negara kita sebenarnya lebih terkongkong dan
tidak bebas walaupun diuar-uarkan sebagai terbuka, liberal dan
sederhana.
Beliau berkata, keadaan ini mungkin boleh diterima oleh majoriti ahli
dan penyokong Umno, tetapi sama ada ia akan diterima oleh pengundi dan
rakyat jelata amnya adalah persoalan yang berbeza.
"Sekali lagi mungkin ada dikotomi antara kedudukan Najib yang kukuh dan
selamat sebagai PM dengan sokongan pengundi terhadap Umno dan BN,"
tulisnya.
Kadir mengulas laporan pada Disember lalu mengenai populariti Najib mengikut kajian Merdeka Center jatuh kepada 52%.
Sebanyak 67% daripada responden dalam kajian itu menyebut peningkatan
kos sara hidup dan inflasi sebagai punca mereka hilang keyakinan
terhadap Najib.
Populariti beliau merudum di kalangan semua bangsa walaupun kejatuhan paling teruk adalah di kalangan orang India.
Sokongan orang India terhadap Najib jatuh daripada 76% kepada 57% dan
sokongan orang Cina jatuh 13% lagi kepada hanya 21%. Hatta orang Melayu
yang menjadi penyokong utama beliau pun memberi penarafan yang lebih
rendah – jatuh daripada 73% kepada 66%.
Kadir berkata, penarafan dan kritikan nampaknya tidak menjejaskan
kedudukan Najib sebagai PM. Tidak nampak ada cabaran yang berwibawa agar
beliau mengundurkan diri daripada kerajaan dan parti.
"Tidak seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang ditentang hebat oleh
(Tun) Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan
(Tun) Daim Zainuddin serta sekumpulan blogger pro-Umno selepas PRU 2008,
Najib tidak menghadapi gerakan seperti itu," katanya.
Malah, katanya, tidak ada siapa pun di kalangan kepemimpinan kanan Umno sekarang yang berminat menjadi PM.
Katanya, ini berbeza daripada zaman Abdullah apabila Najib cukup
berminat untuk mengambil alih jawatan nombor satu itu. – 29 Mac, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment