KUALA LUMPUR:
Sempena kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, Dewan Muslimat PAS Pusat
dan Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (Bakkah) bekerjasama menjejaki
golongan yang memerlukan dan menyampaikan bantuan.
Antara golongan sasar ialah ibu tunggal, anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta fakir miskin.
Program Dana Ramadan ini telah dimulakan sejak 2010 dan mendapat sambutan memberangsangkan saban tahun.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berharap Dana
Ramadan tahun ini dapat menjangkau lebih ramai penerima bertujuan
meringankan bebanan mereka yang memerlukan.
"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat yang menghulurkan bantuan sejak Dana Ramadan dilancarkan," katanya.
Menurut Zailah, pihaknya turut menerima sumbangan dalam bentuk
pakaian, jamuan berbuka puasa dan sahur, kuih raya selain wang tunai dan
cek.
Bagi menjayakan misi Dana Ramadan tahun ini, Muslimat PAS
mengalu-alukan sumbangan kewangan atau penajaan berbuka puasa dan sahur.
Bagi membuka tirai Dana Ramadan tahun ini, sumbangan disampaikan
kepada balu kakitangan Harakah, Khairul Azizul Azizi yang meninggal
dunia pada 15 Disember 2012.
Sumbangan wang serta barang keperluan harian disampaikan kepada Wan
Rosmizah Abdullah oleh wakil Bakkah, Shamsiah Abdullah dan wakil
Muslimat PAS Pusat, Noor Nadiah Mohamad (gambar).
Orang ramai yang berhajat menyalurkan sumbangan boleh berbuat
demikian menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 (Dewan Muslimat PAS
Pusat) atau hubungi Nadia di nombor 013-376 7312. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014
No comments:
Post a Comment