• Diburu rakan angkara kereta Boon (kanan) bersama Song Tuck menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap kes berkenaan.
JOHOR BAHRU – Seorang mekanik bersama keluarganya dari Kulaijaya, di sini terpaksa hidup umpama gelandangan sejak sebulan yang lalu bagi mengelak diri daripada dijejak kenalannya bagi menuntut wang.
Bapa kepada tiga cahayamata yang mahu dikenali sebagai Boon, 35, berkata permasalahan tersebut berpunca daripada pembelian kereta jenis Honda City di Facebook yang dibelinya berharga RM7,000, November lalu.

“Saya ada terbaca mengenai tawaran pembelian kereta ini di Facebook dan kemudian berinteraksi menerusi Wee Chat dengan seorang lelaki dikenali Ah Yaw yang menjual kenderaan berpendaftaran Singapura dengan harga RM7,000.

“Saya tertarik dengan tawaran tersebut, yang diyakini segala proses dokumentasi dan pendaftaran nombor Jabatan Pengangkutan Jalan diuruskan lelaki ini ketika perjumpaan di sebuah restoran makanan segera di Kulai,” katanya yang membuat pengaduan ke Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Johor, Kua Song Tuck.

Akuinya, pada pertemuan tersebut, dia ditunjukkan geran dan kenderaan tersebut akhirnya bersetuju serta membuat pembayaran.

“Sebulan selepas menggunakan kenderaan ini, kenalan saya dikenali Bang berminat untuk membeli kereta ini dengan nilai yang sama, lantas saya bersetuju menjualnya.

“Oleh kerana dokumen dan geran masih ada pada Ah Yaw, saya menghubunginya bagi menukar nama dan Ah Yaw memberitahu ia boleh diselesaikannya.

"Dalam tempoh seminggu selepas itu, saya menerima dokumen yang dijanjikan lalu diberikan pada Bang,” katanya.

Namun, hasil semakan oleh Bang ke JPJ mendapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut didaftarkan ke atas penama lain lalu berasa berang dan menuduh saya menipunya.

Boon berkata, dia sekali lagi menghubungi Ah Yaw dan memaklumkan perkara tersebut sebelum lelaki ini menjanjikan pelbagai alasan lain.

“Selepas berbulan kami menunggu, Ah Yaw gagal dijejaki manakala saya dikejar Bang kerana didakwa menipunya selain menuntut wangnya dikembalikan.

“Saya berasa serik dan kesal akan kejadian ini, malah hidup dalam keadaan tidak tenteram apatah lagi saya tidak mempunyai wang untuk membayar Bang kerana saya juga turut ditipu,” katanya.

Bagi mengelak dari rakannya itu, dia memilih melarikan diri bersama isteri dan tiga anak mereka berusia satu hingga 7 tahun dengan menjadikan taman permainan dan tandas awam serta rumah saudara mara tempat persinggahan.

Dalam pada itu, Song Tuck menyeru orang ramai agar tidak terpedaya dengan penawaran kenderaan yang murah seperti yang dialami mangsa.

Beliau berharap pihak berwajib mengesan sindiket penipuan seperti ini.

Boon (kanan) bersama Song Tuck menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap kes berkenaan.