Tuesday, June 23, 2015

NGO antarabangsa selar gangguan pada mak nyah

22 Jun 2015
Susulan penangkapan 15 orang di Kota Bharu minggu lepas, kumpulan hak asasi antarabangsa menyelar tindakan kerajaan terus mengganggu golongan transgender wanita atau mak nyah.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu berhenti mengheret golongan transgender ke mahkamah hanya kerana siapa mereka dan apa yang mereka pakai.

“Kerajaan perlu mengiktiraf bahawa kebebasan menyatakan gender seseorang sama penting dengan kebebasan lain,” kata Neela Ghoshal, pengkaji kanan hak-hak Lesbian, Gay, Dwiseksual dan Transgender (LGBT) Human Rights Watch (HRW).

Menurut HRW, apa yang berlaku menunjukkan penangkapan sewenang-wenangnya dan gangguan terhadap golongan itu di Malaysia.

Seramai 15 orang transgender berumur antara 20 hingga 35 tahun dilapor ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sebuah hotel di Kelantan pada 17 Jun lalu.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan Syariah ) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata mereka akan disiasat bawah Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 kerana berpakaian menyerupai perempuan.

Mereka berdepan denda sebanyak RM1,000 seorang atau enam bulan penjara, jika disabitkan kesalahan.

Kumpulan itu dikatakan menyewa bilik di hotel bagi mengadakan sambutan hari jadi dan didakwa membuat bising.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment