23/06/15
Batu V Kayu
Pemimpin
PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini menyifatkan kekalahan
mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi "rahmat yang
terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk
Malaysia selepas ini.
Setiausaha jawatankuasa bertindak
kumpulan 18 (G18) yang tewas itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata
penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan
inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.
"Sejak sekian lama kita bergaduh dalam
PAS dengan pendekatan dan pandangan yang berbeza berhubung beberapa
perkara, sekarang kita bebas untuk membentuk wadah baharu lebih inklusif
untuk semua rakyat negara ini," katanya kepada The Malaysian Insider.
G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16 Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka.
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu
yang gagal mempertahankan jawatannya dipilih sebagai pengerusi kumpulan
ini sementara bekas Naib Presiden Salahudin Ayub dilantik menjadi
timbalan manakala bekas Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong
setiausahanya.
Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Dzulkefly berkata badan ini akan
menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan bukan
kerajaan (NGO) Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia
berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.
"Kami yakin wadah ini akan lebih
diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah
negara berbilang agama dan bangsa ini," katanya yang juga bekas ketua
pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS itu.
Selain bersatu dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.
Dzulkefly bagaimanapun berkata, beliau
dan pimpinan G18 akan mengambil pendekatan tidak akan berkonfrontasi
atau menjadikan parti lama mereka iaitu PAS sebagai musuh.
"Kita akan melihat masa depan dan cuba
melupakan perbezaan pendapat kita dalam PAS. Kita akan membawa gagasan
masa depan dan lupakan masalah lama kita," katanya.
Dzulkefly berkata, sepanjang Ramadan ini
kumpulan berkenaan akan mengadakan mesyuarat bersama pertubuhan Islam
dan bukan Islam serta pemimpin masyarkat di seluruh negara bagi
menjelaskan peranan pergerakan itu.
Pengumuman lanjut, katanya hanya akan
dibuat selepas sambutan Aidilfitri dan selepas mendapat maklum balas
daripada akar umbi serta pertubuhan yang berkaitan.
Menurut laporan, kumpulan itu juga
merancang untuk menganjurkan pameran bergerak di seluruh negara dan akan
menyokong kempen “Harapan Baru” atau “The New Hope and Dream” selepas
sambutan Hari Raya Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment