Tuesday, September 29, 2015

Reezal bidas menteri ‘melompat’ yang tuduhnya tidak ikut protokol

 | September 29, 2015
Keputusan memanggil Duta China ke Wisma Putra dipersetujui Menteri Luar selepas berbincang dengan Perdana Menteri.
Reezal-Merican_Huang-Huikang_600
PETALING JAYA: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas pihak yang mendakwa beliau tidak mengikut protokol apabila memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang ke Wisma Putra.

Timbalan Menteri Luar itu berkata, tindakannya memanggil Duta Besar China adalah amalah biasa yang dibuat mengikut protokol selepas mendapat persetujuan Menteri dan Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu menjadi ‘luar biasa’ dan dianggap tidak ‘berprotokol’ apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang ‘melompat’ dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil oleh Wisma Putra.

“Ingin saya tegaskan bahawa keputusan untuk memanggil Duta China dibuat oleh Wisma Putra setelah mendapat persetujuan daripada Menteri Luar selepas berbincang dengan Perdana Menteri.

“Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar Negeri.
“Adalah malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa saya sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur dan protokol Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Reezal Merican berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk menyelesaikan sesuatu isu secara baik.
“Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment