Keputusan UMNO untuk mengadakan mesyuarat MT pada 24
November ini di bangunan Parlimen tidak pernah dibuat mana-mana Presiden
UMNO sebelum ini.
PETALING
JAYA: Pemilihan bangunan Parlimen sebagai lokasi mesyuarat Majlis
Tertinggi (MT) UMNO dilihat sebagai luar kebiasaan kerana ia tidak
pernah dibuat sebelum ini.
Bahkan, ia dianggap bercanggah dengan prinsip Parlimen, ia hak milik
semua rakyat kerana tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik.
Bagi bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin,
mesyuarat MT yang akan berlangsung pada 24 November ini menimbulkan
banyak kehairanan.
“Tetapi kenapa Najib Razak begitu berani mencipta sejarah dan tanpa
segan silu melanggar kelaziman itu dengan memulakan amalan menjadikan
Parlimen sebagai tempat untuk mesyuarat MT UMNO?
“Apakah mesej yang mahu disampaikannya kepada rakyat? Apakah selepas
ini lebih kerap MT UMNO akan bersidang di Parlimen?,”Soalnya
Katanya lagi, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Azalina Othman Said bahawa mesyuarat MT kali ini diadakan di
Parlimen yang berkebetulan dengan sesi Dewan Rakyat sedang berlangsung
untuk mengelakkan berlakunya sebarang usul tergempar yang mungkin dibawa
oleh pihak pembangkang juga dipersoal.
Begitu juga dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor bahawa pemilihan Parlimen sebagai tempat mesyuarat
kali ini ialah untuk memudahkan Ahli Parlimen yang menjadi Ahli MT UMNO
untuk menghadirinya, turut ditempelaknya kerana jaraknya yang amat dekat
dengan ibu pejabat UMNO di PWTC.
“Berkenaan tarikh asal mesyuarat MT pada 27 November tetapi diawalkan
kepada 24 November, bolehkah diterima alasan Tengku Adnan bahawa ia
dicepatkan kerana Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang ditetapkan pada 8
hingga 12 Disember sudah begitu hampir tarikhnya?
“Banyak sangatkah bezanya tarikh asal 27 November dengan tarikh baru
24 November? Tidakkah tindakan mengawalkan tarikh mesyuarat daripada
Jumaat kepada Selasa semata-mata supaya ia boleh diadakan di Bangunan
Parlimen memandangkan tiada sesi Parlimen pada hari Jumaat?,” Tanyanya.
Dalam tulisannya di shahbudindotcom, dia menjelaskan tujuan sebenar
kepimpinan tertinggi UMNO memilih bangunan Parlimen sebagai lokasi
mesyuarat MT.
Katanya, salah satu agenda penting mesyuarat MT pada 24 November ini
ialah untuk memutuskan sama ada memecat atau menggantung keahlian Tan
Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tun Dr Mahathir
Mohamad daripada UMNO.
“Jika kita masih ingat, dalam mesyuarat MT UMNO sebelum ini yang
dihebohkan Muhyiddin dan Shafie akan dipecat susulan pengguguran mereka
daripada kabinet, ribuan penyokong kedua-dua pemimpin itu berkumpul di
Bangunan UMNO dengan pelbagai sepanduk serta poster dan ia akhirnya
bukan saja menyebabkan sebarang tindakan tidak jadi diambil, bahkan juga
turut membuatkan Najib datang dan pulang dengan melalui pintu belakang
lantaran bimbang sesuatu respon yang tidak diingini berlaku terhadapnya.
“Tetapi, dengan kali ini MT mengadakan mesyuaratnya di Bangunan
Parlimen, tidak ada penyokong mana-mana pemimpin akan dibenarkan
memasuki bangunan itu berikutan faktor kawalan keselamatan yang sedia
ada di situ dan akhirnya Najib dapat mengelakkan sebarang reaksi atau
protes yang tidak diingini jika pemecatan atau penggantungan dilakukan,”
jelas Shahbudin.
Katanya, jika tindakan sedemikian diputuskan di Bangunan UMNO,
puluhan ribu penyokong Muhyiddin, Shafie dan Tun Mahathir tidak ada
masalah untuk bergabung, berhimpun dan memprotes lantaran kemarahan
terhadap keputusan yang diambil itu.
Shahbudin membuat kesimpulan, atas faktor yang dikupasnya, kepimpinan
UMNO memutuskan untuk mengadakan mesyuarat MT di Parlimen pada 24
November ini dan bukan lagi ibu pejabat parti itu sendiri.
No comments:
Post a Comment