Baginda mahu melihat Bangsa Johor bersatu sebagai hadiah paling berharga sempena Hari Keputeraan baginda ke-57.
PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan
Iskandar bertitah, hadiah paling berharga yang baginda mahukan sempena
Hari Keputeraan ke-57 baginda ialah melihat Bangsa Johor bersatu.
Baginda bertitah, rakyat tidak perlu membelikan apa-apa hadiah kerana
melihat Bangsa Johor bersatu merupakan hadiah paling tidak ternilai
yang baginda mahukan.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda sayangkan rakyat Johor kerana tanpa rakyat tiada raja.
“Untuk hari jadi saya hari ini, tidak perlu untuk membelikan apa-apa
hadiah untuk saya. Hanya satu permintaan dari saya, yang mana bagi saya
amat berharga, iaitu untuk Bangsa Johor bersatu.
“Saya sayang rakyat saya. Tanpa rakyat maka tiada raja. Rakyat Johor
adalah tanggungjawab saya dan impian saya adalah untuk melihat rakyat
bersatu,” titah baginda.
Titah Sultan Ibrahim itu dimuatnaik di laman rasmi Facebook baginda.
Baginda turut memuatnaik gambar-gambar bersama ahli keluarga
menyambut Hari Keputeraan baginda bersama anakanda Tuanku Jalil yang
sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
No comments:
Post a Comment