Syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia itu menghadapi masalah kewangan yang semakin tenat.
PETALING JAYA: Syarikat penerbitan akhbar pro-UMNO, Utusan Melayu
(Malaysia) Berhad dikatakan bakal memberhentikan lebih 200 pekerjanya
dalam tempoh terdekat ekoran menghadapi masalah kewangan yang semakin
tenat.
Menurut sumber, Utusan Melayu yang menerbitkan Utusan Malaysia dan
Kosmo! dengan kakitangan seramai 1,400 orang terpaksa mengurangkan
jumlah pekerjanya sekurang-kurangnya 20 peratus ekoran masalah yang
dihadapi itu.
Katanya, pekerja yang akan diberhentikan itu melibatkan banyak bahagian termasuk Jabatan Pengarang.
Ujarnya, semua itu berlaku disebabkan syarikat terbabit tidak lagi
dapat menanggung kos operasi yang semakin meningkat terutama melibatkan
bahan-bahan yang digunakan untuk percetakan akhbar.
“Pada masa ini kilang percetakan akhbar milik Utusan yang terletak di
Tebrau telah ditutup dan pekerja-pekerja yang terbabit kini terpaksa
menganggur.
“Manakala sebuah lagi kilang yang terletak di Gong Badak (Terengganu)
yang digunakan untuk mencetak akhbar edaran Pantai Timur akan ditutup,”
kata sumber berkenaan kepada FMT.
Sumber itu menyatakan, keadaan Utusan Melayu menjadi teruk sejak awal
tahun ini dengan bermacam langkah diambil oleh pihak pengurusan, namun,
segala usaha yang dilakukan tidak berjaya.
Jelas sumber itu lagi, gaji yang sepatutnya diterima oleh kakitangan
eksekutif yang kebiasaannya dibayar pada 24 atau 25 haribulan hanya akan
dibayar pada 28 November ini, sekaligus menguatkan lagi dakwaan
tersebut.
“Ya…Utusan dah takde duit untuk membayar gaji pekerja. Saya tahu
perkara ini pun setelah diberitahu oleh pihak atasan yang menguruskan
gaji pekerja.
“Meskipun Ketua Pengarang syarikat itu sering kali menyatakan ada
jalan keluar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun, sehingga
hari ini ia tidak menjadi kenyataan,” kata sumber berkenaan.
Bagaimanapun kata sumber itu lagi, keputusan untuk memberhentikan
pekerja itu merupakan langkah terakhir sekiranya syarikat tidak menemui
jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Utusan Melayu telah memberhentikan pekerja Utusan Printcorp sebelum menjualnya kerana menghadapi masalah kewangan.
Tahun lalu, Utusan Melayu mengalami kerugian RM82.64 juta,meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment