SHAH ALAM - Kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang menyeru
individu dalam Pas yang mahu bergabung dengan Umno supaya meninggalkan
parti, telah merunsingkan ahli Pas.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ramai ahli
berpandangan kenyataan Idris seperti mengiakan wujud usaha pihak-pihak
tertentu dalam Pas untuk bergabung, bekerjasama atau bertahaluf siyasi
dengan Umno-BN.
“Masakan tiada angin pohon bergoyang. Sudah tentu individu tersebut bertaraf pimpinan tertinggi Pas dan bukannya ahli biasa.
“Kalau ahli biasa Pas, mereka percaya Ustaz Idris tidak perlu buat
kenyataan untuk meminta individu tersebut meninggalkan Pas kerana usaha
dilakukan ahli biasa Pas tidak akan memberi kesan untuk menjadikannya
keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, individu dalam parti itu yang
teringin untuk bergabung dengan Umno perlu meninggalkan Pas.
Beliau turut menyenaraikan beberapa tokoh Pas sebelum ini yang pernah
meninggalkan Pas untuk bersama Umno seperti Ahmad Fuad Hassan, Tan Sri
Asri Muda dan Nakhaei Ahmad.
Menurut Mahfuz, kenyataan Idris juga seolah-olah menunjukkan terdapat dua pihak dalam kepimpinan Pas.
“Satu pihak yang hendak bergabung, bekerjasama atau bertahaluf dengan Umno-BN, manakala satu pihak lagi menentang.
“Saya tidak pasti siapa dalam kalangan mereka. Tetapi kenyataan Ustaz
Idris menjadi bahan perbualan dan perbahasan dalam kalangan ahli biasa
Pas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ahli Pas turut berasa hairan dengan
kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa
ahli Pas yang menentang kerjasama Pas-Umno perlu akur dengan keputusan
Majlis Syura Ulama Pas.
“Mereka (ahli Pas) menyatakan bagaimana Ahmad Zahid boleh keluar arahan
dan boleh tahu keputusan Majlis Syura. Adakah Majlis Syura sudah buat
keputusan? Ini yang membingungkan ahli-ahli.
“Saya percaya kerisauan ahli Pas dalam isu ini ada asasnya dan bukan
soal bersetuju atau menentang kerjasama. Tetapi mereka mahukan
kepastian,” katanya.
No comments:
Post a Comment