Mohd Ali meminta orang ramai memboikot Plaza Kota Raya selama setahun sebagai pengajaran kepada peniaga di situ.
KUALA
LUMPUR: Para peniaga di Plaza Kota Raya di sini bertindak menutup kedai
setelah mendapat tahu sekumpulan ahli Gerakan Merah datang ke tempat
mereka.
Tinjauan FMT ke plaza berkenaan mendapati, hampir semua premis di
bangunan berkenaan tutup dan hanya beberapa peniaga sahaja menjalankan
aktiviti seperti biasa.
Ketua Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom ketika ditemui berkata,
kehadirannya ke plaza berkenaan adalah sebagai respon terhadap kes
seorang individu yang dilaporkan dikurung di dalam sebuah bilik kecil
selepas enggan membeli telefon bimbit dari sebuah kedai di situ.
“Hari ini kita tahu ada seorang pembeli yang ditipu oleh peniaga.
Jadi kami bangun untuk bela nasib mereka dan rakyat,” kata Mohd Ali yang
juga dikenali sebagai Ali Tinju.
Bagaimanapun, Mohd Ali yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera
Melayu (PVTM) menafikan kehadirannya ke plaza berkenaan untuk membuat
huru-hura.
“Kami datang bukan untuk buat rusuhan, tidak pernah bawa api
perkauman. Tiada perkauman, tiada pergaduhan. Saya datang hendak bela
nasib rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Ali meminta orang ramai supaya memboikot plaza berkenaan selama setahun.
“Saya beri teguran dan nasihat kepada segelintir kaum Cina. Bukan
semua ada yang baik. Saya menyeru semua rakyat berbilang kaum boikot
Kota Raya buat seketika.
“Boikot bagi mereka faham dan ambil tindakan berubah dari masa ke
semasa. Kalau kita beli di sini (Kota Raya) maka peniaga bermegah dan
hebat,” tegasnya.
Mohd Ali bagaimanapun dilihat tidak memasuki ke dalam plaza berkenaan sebaliknya, hanya berkeliaran di luar bangunan itu.
FMT
No comments:
Post a Comment