Wednesday, December 16, 2015

Perwakilan UMNO mewakili siapa?

FMT - December 16, 2015

Abah amat tekankan kesetiaan - merah darahnya dan putih tulangnya warna bendera UMNO. Pilu hati tuanya dengan kualiti perwakilan tempoh hari.

UMNO
oleh Hafiizh Mokhtar
Abah ahli UMNO, dan bila saya berpeluang menjenguk beliau di Kedah kami akan cuba meluangkan masa yang ada dengan berkereta dari Alor Setar ke Naka, belok kiri ke Kampung Belantek dan berhenti seketika di Kolam Air Pedu. Kami meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam ikut jalan Sintok.

Sepanjang perjalanan Abah akan menceritakan rancangan besar (grand design) UMNO untuk bangsa Melayu. Saya. Dia. Adik-adik saya. Jiran sebelah dan anak gadisnya. Ahmad, Abu dan Ali dalam cereka kanak-kanak (Bakar pun walaupun dia berpaling tadah!). Kami yang bukan cukong dan bukan menteri.

Ada sebab Abah pilih jalan jauh menyelusuri kawasan pedalaman. Beliau mahu saya saksikan perubahan kawasan-kawasan yang kami lalui – baik dan buruk – dari tahun ke tahun.

Atas kesedaran itu, saya tercari-cari grand design UMNO untuk orang Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, lebih-lebih lagi apabila negara berada di selekoh terakhir (Rancangan Malaysia ke-11) menuju 2020.
Seminggu berlalu, dan saya masih tercari-cari. Para perwakilan berdiri dan bersorak bertepuk tangan tetapi apa yang mereka jumpa?

Perencanaan apa yang mereka sokong tempoh hari?
Memiliki kediaman sendiri masih perkara yang sukar. Meskipun kerajaan memperkenalkan perumahan mampu milik, bagaimana pula dengan soal pembiayaan bank vs komitmen sedia-ada dengan gaji yang tidak seberapa? Pemaju nampaknya rancak membina kediaman yang seolah-olah hanya mampu dimiliki golongan yang disebut sebagai ‘pendatang’ (baca: expatriat), manakala yang kelihatan murah pula terletak jauh dari kotaraya.

Berbaloikah nilai rumah yang dibeli dengan kos ulang-alik dari Tanjong Karang ke Kuala Lumpur?
Hari ini isu lain yang masih menjadi perbualan adalah pemerkasaan syarikat kecil dan sederhana Melayu; melahirkan pelapis usahawan, pendidik dan pemimpin Melayu yang kritikal dan berfikiran jauh; memperkaya seni budaya dan bahasa Melayu; kos barangan, perkhidmatan dan pengangkutan; melahirkan komuniti Melayu yang berdikari dan berkeyakinan kendiri, antara lain.

Lantaran saya tidak berpeluang mengikuti setiap perbahasan perwakilan UMNO, pendapat saya ini terhad kepada apa yang saya baca, tonton dan dengar. Mohon dimaafkan jika saya terlepas pandang atau atas sesuatu yang saya tidak tahu…

…tetapi memandangkan kita orang Melayu masih lagi diancam dan terancam, barangkali mengulangi sesuatu lagi dan lagi tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza bukanlah gaya hidup yang sihat.
Barangkali, apa yang diperlukan adalah keberanian politik, kerendahan hati, dan imaginasi yang luas – sesuatu yang saya tidak yakin ada pada para perwakilan.

Jangan minta tiga ciri itu dari saya. Saya hanya seorang pembaca FMT.
Abah amat tekankan kesetiaan – merah darahnya dan putih tulangnya warna bendera UMNO. Pilu hati tuanya dengan kualiti perwakilan tempoh hari.

No comments:

Post a Comment