Pemuda AMANAH seru rakyat bantah TPPA di Parlimen pada Selasa dan Rabu ini
PETALING JAYA: Rakyat negara ini diseru berkampung dan mengadakan
bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di
Parlimen pada Selasa dan Rabu ini.
Seruan itu dibuat Pemuda AMANAH sebagai tanda tunjuk perasaan
terhadap ahli Parlimen yang akan mengadakan undian sama ada kerajaan
akan menandatangani perjanjian itu pada Feb depan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata rakyat
negara ini diajak berkampung di sekitar bangunan Parlimen untuk
memastikan semua ahli Parlimen mengundi menolak TPPA berkenaan.
“TPPA sampai ke peringkat akhir dan ini kemuncak perlawanan paling
kritikal. 26 dan 27 Januari ini penentu samada perjanjian yang bakal
menentukan nasib jatuh bangun negara ini diterima atau ditolak oleh ahli
Parlimen Malaysia.
“Pemuda AMANAH mengajak seluruh rakyat untuk berkampung depan
Parlimen ketika TPPA ini dibahaskan bermula pagi 26 Januari hinggalah 27
Januari. Di pusingan bantahan paling penting ini, rakyat harus bersama
pastikan semua ahli Parlimen mengundi untuk tolak perjanjian tersebut,”
katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata, mesej sama juga mahu diberi
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak perjudikan
nasib rakyat dan kedaulatan negara.
Katanya, rakyat wajib tahu bahawa TPPA adalah bentuk penjajahan
baharu antara rakyat Malaysia dan syarikat multinasional yang
berpengkalan di negara maju.
No comments:
Post a Comment