26/1/16
Pergolakan kerusi menteri besar Kedah dilihat memberi kesan besar
kepada aspek pembangunan negeri sekiranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir
kekal berada di tampuk kuasa, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil
Rakyat (MUBARAK) Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.
Menurut
beliau, pelbagai perancangan dirangka oleh Mukhriz gagal dilaksana
susulan hubungan renggang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer
Hitam itu dengan kerajaan pusat dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
"Beliau dilihat bersikap tidak sehaluan dengan perdana
menteri, malah seperti memusuhi presiden Umno sendiri. Jika kita ketua,
pastinya kita tidak mahu melihat anak buah melawan. Tidak sehaluan dan
sejalan dengan kepentingan parti.
"Atas faktor itu, pembangunan di
Kedah terbantut dan rancangan kerajaan negeri di bawah Mukhriz hanya
menjadi angan-angan kosong. Ia akan merugikan rakyat Kedah sendiri,"
katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, pelbagai pelan pembangunan yang dirangka Mukhriz sejak menduduki kerusi menteri besar Kedah.
Antaranya,
pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Bandaraya Aero Kedah
(Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway
(SPIKE), Bandaraya Getah Kedah, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan
Bandar Raya Sains Perubatan Kedah.
Abdul Rahman berkata, kegagalan
Mukhriz menjaga hubungan baik bukan sahaja dengan pimpinan tertinggi
(Umno) tetapi turut melibatkan peringkat akar umbi.
"Walaupun
populariti lebih memihak kepada beliau, tetapi keadaan itu tidak
menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
"Beliau
nampak dekat dengan golongan muda dan banyak berdamping dengan NGO,
tetapi hakikatnya tiada hubungan kuat dengan pimpinan parti peringkat
bahagian dan sayap," jelasnya.
Punca pemberontakan
Tambah
beliau, Mukhriz adalah orang baru dalam politik Kedah yang tiada
pengalaman untuk meneraju kepimpinan ke peringkat akar umbi.
"Mukhriz nampaknya long ranger (keseorangan). Tak nampak kepentingan beliau di peringkat pimpinan bahagian-bahagian dan sayap parti di Kedah.
"Selain
itu, orang di sekeliling beliau banyak daripada pegawai yang
didatangkan dari Kuala Lumpur dan Ansara (Persatuan Bekas Pelajar Maktab
Rendah Sains Mara). Tidak banyak bantuan dapat dilakukan mereka kepada
Mukhriz," katanya.
Beliau turut mengaitkan punca pemberontakan
pimpinan Umno Kedah yang diketuai Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno
Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini, adalah atas
kegagalan Mukhriz membawa gelombang besar kepada kelangsungan parti.
"Kita
tidak nampak aura dan gelombang kekuatan Umno selepas hampir tiga tahun
beliau memerintah Kedah. Dan parti tidak boleh bergantung kepada
populariti semata-mata untuk menang pilihan raya akan datang.
"Saya
percaya pertukaran menteri besar telah diambil kira aspek masa depan
Umno Kedah oleh presiden Umno. Tetapi menjadi tugas berat kepada menteri
besar baru untuk ambil alih tugas yang ditinggalkan Mukhriz," ujarnya.
Malaysiakini
Dah pencen dah nak mati pun sibuk nak bodek lagi. Tak cukup ke harta dunia yang telah dikumpul??
ReplyDelete