'Hampir pasti' Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan
digantikan, demikian tajuk utama muka depan akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.
Akhbar
itu melaporkan, dalam pertemuan di PWTC itu, Najib yang juga presiden
Umno dilaporkan berkata, beliau akan meneliti semua perkara sebelum
membuat sebarang keputusan.
"Perdana menteri akui apa yang berlaku
adalah suara yang dibawa oleh ketua-ketua bahagian di Kedah, beliau
minta diberi masa untuk membuat keputusan kerana apa juga tindakan perlu
mengambil kira kesan kepada Umno Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Selain
itu beliau juga menuntut kesetiaan semua pemimpin Umno negeri tersebut
terutamanya apabila keputusan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi,"
lapor Utusan yang memetik satu sumber yang turut menghadiri pertemuan
tersebut.
Pertemuan itu dihadiri oleh lebih 50 pemimpin Umno
Kedah, antaranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Dr. Jamil Khir
Baharom, ADUN Tanjong Dawai, Datuk Tajol Urus Mat Zain, Ahli Parlimen
Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri
Abdul Azeez Rahim.
Laporan yang memetik sumber dalaman Umno itu
berkata, pemimpin Umno yang hadir sepakat meminta Najib menyelesaikan
isu tersebut dengan segera termasuk menghadap ahli jemaah pemangku
Sultan Kedah secepat mungkin.
"Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah
yang mewakili kepemimpinan Umno Kedah menjelaskan apa yang berlaku dan
mahu Perdana Menteri membuat perubahan terhadap kepemimpinan Umno Kedah
demi memastikan parti itu terus berkuasa," lapor Utusan lagi.
Rabu lalu, sekumpulan Umno Kedah yang juga penyokong Najib mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Mereka
yang diketuai oleh Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media di Alor
Setar, Kedah itu juga menggesa Najib campur tangan dan menggantikan
Mukhriz sebagai menteri besar.
Selain itu ditanya mengenai calon
menteri besar bagi menggantikan Mukhriz, Utusan memetik sumber itu
sebagai berkata, setakat ini Ahmad Bashah merupakan calon utama dan
pengumuman mengenainya akan dilakukan dalam tempoh sehari dua lagi.
“Ada
pihak memaklumkan majlis angkat sumpah dijangka diadakan pada
penghujung bulan ini di Istana Anak Bukit," sumber itu dilaporkan
berkata.
Sementara itu media milik Umno itu turut melaporkan
sokongan terhadap Mukhriz dilihat semakin berkurangan apabila beberapa
perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan beliau
semakin pudar.
Dalam masa sama, satu sumber memberitahu Utusan,
Mukhriz juga menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan di kalangan
ADUN jika beliau berhasrat membawa perkara itu ke dalam sidang Dewan
Undangan Negeri.
No comments:
Post a Comment