Beliau memberi amaran kepada TH supaya tidak berdolak
dalik mengenai surat daripada Bank Negara berhubung paras rizab
institusi itu.
PETALING
JAYA: Aktivis selebriti, Abdul Rani Kulop Abdullah berikrar akan
membuat laporan polis mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) jika benar
institusi itu tidak akan membayar bonus tahunan kepada pencarum untuk
tahun ini.
Pada masa sama, Rani Kulop juga meminta kepada semua pencarum TH
bertenang dan menunggu isu mengenai institusi itu diselesaikan
sekurang-kurangnya sehingga Mac ini.
Beliau berkata, mengikut kebiasaan, TH mengumumkan bonus tahunan sekitar Feb hingga Mac pada tahun berikutnya.
“Ayah faham ramai yang risau bila dengar berita Tabung Haji ada
masalah. Malah ramai yang tanya ayah tentang perkara ini,” katanya yang
mesra membahasakan dirinya dengan panggilan ‘ayah’.
“Rakyat semua bertenang dulu, tunggu masa dan ketikanya. Jika Feb ini
memang tiada bonus tahunan, dan Tabung Haji masih berdolak-dalik,
maknanya kena buat report polis. Ayah juga seru pencarum untuk buat
report,” katanya lagi ketika dihubungi FMT.
Dalam satu surat bertarikh 23 Disember 2015, Gabenor Bank Negara, Tan
Sri Zeti Akhtar Aziz memaklumkan kepada Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez
Abdul Rahim bahawa paras rizab badan kewangan itu berada di paras
negatif.
Seksyen 22, Akta Tabung Haji menyatakan bahawa badan itu tidak boleh
memberikan bonus dan dividen kepada pencarum jika nilai asetnya lebih
rendah berbanding obligasi.
Namun, Pengarah Urusan Kumpulan TH, Tan Sri Ismee Ismail dalam satu
kenyataan semalam, memberi jaminan bahawa badan itu mampu membayar bonus
tahunan dan akan mengumumkannya Mac ini.
No comments:
Post a Comment