Monday, February 29, 2016

AMANAH harap pendedahan Muhyiddin isu SRC disiasat

 FMT| February 28, 2016
Hanipa Maidin hairan selepas dakwaan itu didedah, bukan sahaja Najib tidak didakwa sebaliknya mantan peguam negara dan mantan timbalan perdana menteri ditamatkan perkhidmatannya.
SRC International
PETALING JAYA : Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoal sebab Perdana Menteri tidak didakwa walaupun dalam keadaan wujud bukti dan keterangan yang kukuh menerusi pendedahan baru oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu SRC International.

Sebaliknya Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH Hanipa Maidin berkata, beliau hairan bahawa selepas dakwaan itu didedah, bukan sahaja Najib tidak didakwa sebaliknya mantan peguam negara dan mantan timbalan perdana menteri ditamatkan perkhidmatannya.
“Dengan pendedahan baru Muhyiddin mengenai isu SRC International ini, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

“Mengapakah dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan yang kuat untuk mendakwa perdana menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa sebaliknya mantan peguam negara dan mantan timbalan perdana menteri ditamatkan perkhidmatannya?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas perdana menteri tidak dilakukan?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hanipa yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepang turut mempersoalkan isu keyakinan sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan terbabit, ke mana hasil siasatan itu akan dirujuk jika bukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi ALi yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus iaitu selain polis dan SPRM, yang perlu membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin tersebut supaya siasatan dapat dibuat dengan lebih telus, mendalam dan berkesan,” tegasnya.

Justeru Amanah juga mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat Muhyiddin berhubung kemasukan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi perdana menteri.

Suruhanjaya itu juga katanya, perlu dianggotai oleh mereka yang benar-benar bebas dan berintegriti supaya kebenaran dapat dikenal pasti dan ditegakkan.

Muhyiddin semalam berkata beliau ditunjukkan bukti oleh Abdul Gani mengenai wang yang masuk ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.

Bagaimanapun, Gani dilapor enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut. 

No comments:

Post a Comment