Beliau mendakwa tindakan TH memilih untuk membuat
laporan polis berbanding saman di mahkamah kerana ingin menyelesaikan
kes tersebut secara mudah.
PETALING JAYA: Rafizi Ramli tidak terkejut dengan laporan polis yang
dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) terhadapnya kerana mendakwa agensi
tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya,
TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
Sebaliknya, Naib Presiden PKR mencabar TH supaya membuat saman secara
sivil di mahkamah sekiranya segala pendedahan beliau itu fitnah.
“Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa
bahawa rakyat masih marah dengan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri
Mohamad Apandi Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru
ini.
“Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang
saya kemukakan setakat ini adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji,
wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan
segera.
“Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di
mahkamah di bawah undang-undang sivil,” katanya dalam satu kenyataan di
sini hari ini.
Malah Setiausaha Agung PKR itu tidak menolak tindakan TH memilih
untuk membuat laporan polis berbanding saman di mahkamah kerana ingin
menyelesaikan kes tersebut secara mudah.
“Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya
sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah (“fair
comments”) atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui
(“qualified privileges”).
“Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah
undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai
kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat.
“Sebab itu saya perhatikan ada kecenderungan oleh pimpinan UMNO dan
badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di
bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai
saman sivil sahaja,” katanya yang memberi jaminan akan memberi kerjasama
penuh kepada pihak polis.
No comments:
Post a Comment