Sunday, February 7, 2016

Penjara wartawan seumur hidup tak membantu negara – PAS

 | February 7, 2016
Peguam Negara tak patut buang masa selamatkan pihak tertentu dengan menghukum wartawan pelapor rahsia yang dibocorkan.
tuan-man,wartawan
PETALING JAYA: PAS membidas cadangan Peguam Negara untuk meminda undang-undang bagi menghukum wartawan yang melaporkan rahsia sesebuah organisasi yang dibocorkan.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Peguam Negara seharusnya menumpukan tenaga untuk memulihkan imej jabatan dan bukannya membazirkan masa memikirkan kaedah menyelamatkan pihak tertentu dengan idea tidak membantu seperti penjara seumur hidup wartawan yang melapor rahsia dibocorkan.

Katanya, Peguam Negara perlu mempertimbangkan terlebih dahulu cadangan pindaan undang-undang itu yang sebenarnya secara tidak langsung membolehkan pesalah yang korup dan menyalahgunakan kuasa dilindungi.

“Elok juga kalau Peguam Negara dapat mengkaji semula hukuman terhadap mereka yang diberi amanah, tapi terbukti melakukan salah guna kuasa dan rasuah sehingga merosakkan nama baik negara agar mereka juga dihukum penjara seumur hidup.

“Tidak dinafikan bahawa soal amanah dalam menjaga rahsia sesebuah organisasi dan negara adalah amat penting. Namun, bagi mereka yang membocor rahsia atas prinsip ‘amal makruf nahi mungkar’ adalah jauh lebih mulia daripada mereka menggunakan ‘rahsia’ sebagai alasan untuk tidak mengambil sebarang kesalahan yang telah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali sedang menimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

No comments:

Post a Comment