Ia boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
PETALING JAYA : Tindakan meroboh benteng kukuh UMNO semata-mata untuk
memuaskan nafsu peribadi disifatkan sebagai satu perbuatan yang hina.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata,
sekiranya berlakunya perpecahan dalam UMNO, ia boleh memberi kesan buruk
kepada perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Ini kerana, sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, UMNO merupakan
wadah perjuangan dan teras kesatuan orang Melayu sehingga berada pada
tahap seperti sekarang ini.”
“Sebarang pertelingkahan yang boleh membawa kepada perpecahan UMNO
hendaklah dielakkan dengan mengambilkira kesepakatan berasaskan semangat
kekeluargaan yang dipupuk selama ini,” katanya dalam entri terbarunya
umnobahagiancheras.blogspot.my.
Jelasnya, perbezaan pendapat dan pandangan yang bertentangan adalah
lumrah dan ia tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga mencetuskan
kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Oleh sebab itu, UMNO mempunyai saluran tertentu untuk ahli-ahlinya
menyalurkan segala pandangan, teguran dan saranan jika membawa manfaat
kepada kepentingan parti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Syed Ali turut kesal dengan sikap sesetengah pihak
akhir-akhir ini yang mengambil kesempatan dengan meletakkan kesalahan
pada pemimpin tertentu.
“Mencari kesalahan orang lain bukan perbuatan terpuji, malah apa yang
kita kesal kerana perbuatan seperti itu hanya akan mengeruhkan lagi
keadaan.
“Kadangkala kita lupa kepada tatasusila sebagai orang Melayu yang
kaya dengan nilai-nilai budaya murni dan menghormati pemimpin,”
tegasnya.
No comments:
Post a Comment