Monday, February 29, 2016

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Muhyiddin - Amanah

Hanipa Maidin
Hanipa Maidin
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan agar satu Suruhannjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat ‎pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yaasin mengenai isu pendepositan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Pengerusi Biro Undang-undang Amanah, Mohamed Hanipa Maidin berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting supaya kebenaran dapat dikenal pasti sekaligus dapat merungkai segala permasalahan dalam isu itu.

"Suruhanjaya itu perlu mengkaji isu ini secara terperinci, telus, mendalam dan tanpa rasa gentar dan memihak terhadap pendedahan terbaru Muhyiddin tersebut.

"Dan ia perlu dianggotai oleh mereka yang benar-benar bebas dan berintegriti supaya kebenaran dapat dikenal pasti dan ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa, beliau telah diberitahu oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail termasuk dikemukakan keterangan kepadanya bahawa wujudnya perbuatan jenayah yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri mengenai isu pendepositan wang SRC International tersebut ke akaun peribadi Perdana Menteri berjumlah RM42 juta.

Setakat ini, peguam negara memilih untuk tidak memberi apa-apa komen terhadap pendedahan terbaru Muhyiddin itu.

Terdahulu pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali  berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment