KUALA TERENGGANU – Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi
kesan besar sehingga dikatakan turut mewujudkan krisis kepercayaan
masyarakat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani
berkata, bukan hanya Tun Mahathir Mohamad sahaja yang sukar untuk
percaya terhadap pendedahan Jabatan Peguam Negara itu, bahkan beliau
tidak menolak ramai pihak yang turut mempersoalkan perkara sama.
“Apabila berlaku krisis kepercayaan masyarakat terhadap Peguam Negara,
ia mewujudkan suasana yang tidak bagus, apatah lagi ia melibatkan
pemimpin di peringkat jawatan tertinggi,” katanya kepada Sinar Harian,
di sini.
Berhubung gesaan bekas Perdana Menteri keempat itu supaya Mohamed
Apandi bersumpah dengan al-Quran, Azman berkata bahawa isu 1MDB dilihat
sesuatu yang sukar dan tidak dapat menyelesaikan masalah dengan hanya
bersumpah dengan al-Quran.
Beliau berpendapat, perlu ada badan tinggi yang boleh menyoal siasat
Mohamed Apandi dan Mahathir berhubung kenyataan beliau mengenai 1MDB
sebelum ini untuk membuktikan kebenaran antara kedua-dua pihak.
“Isu ini adalah melibatkan pihak tertinggi. Jadi, ia perlu kepada badan
yang lebih tinggi untuk menyoal peguam negara dan juga Mahathir dengan
teliti apa yang tidak puas hati dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak bahawa bersumpah dengan al-Quran
dibenarkan dalam agama dalam meyakinkan orang ramai terhadap pihak yang
bersumpah.
Azman Shapawi berkata, ia diharuskan sekiranya masyarakat umum tidak
percaya terhadap apa yang dikatakan sedangkan pihak terlibat benar-benar
mahu membuktikan dia bercakap benar.
Laporan Sinar Harian Khamis lalu, Mahathir menegaskan beliau sedia
dipenjarakan sekiranya didapati bersalah memfitnah Mohamed Apandi yang
didakwa cuba membersihkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB
dan RM2.6 bilion.
No comments:
Post a Comment