Ini adalah rombakan pertama selepas rombakan pada Julai 2015 yang menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PETALING
JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan
empat menteri penuh yang baru, dalam rombakan kabinet diumumkannya hari
ini.
Antara lain, rombakan kali ini menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Johari Abdul Ghani dilantik Menteri Kewangan Kedua yang baru,
menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang bersara.
“Husni memberitahu saya untuk berundur diri, jadi saya hormatinya,” kata Najib.
Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz menggantikan Johari sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Mohamad Noh Omar kembali ke
kabinet apabila dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, yang sebelum ini disandang Datuk Abdul Rahman
Dahlan.
Abdul Rahman pula dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang
mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menggantikan Tan Sri Abdul
Wahid Omar yang juga bersara.
Najib turut berkata akan mengumumkan penyusunan semula tugas menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Rombakan hari ini merupakan yang pertama selepas rombakan Julai 2015
yang menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Berikut senarai penuh perlantikan menteri dan timbalan menteri:
Menteri
- Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi: Datuk Seri Mah Siew Kiong
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahlan
- Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Tan Sri Mohamad Noh Omar
- Menteri Kewangan II: Datuk Johari Abdul Ghani
Timbalan Menteri
- Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Datuk Chua Tee Yong
- Timbalan Menteri Kewangan: Datuk Lee Chee Leong
- Timbalan Menteri Kewangan: Datuk Othman Aziz
- Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi: Datuk Datu Nasrun Datu Mansur
- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan: Datuk Henry Sum Agong
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri: Datuk Seri Devamany S Krishnasamy
No comments:
Post a Comment