MUAR - Umno bahagian Pagoh hari ini sepakat menolak keputusan yang
dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memecat Tan Sri Muhyiddin Yasin
daripada jawatan Timbalan Presiden Umno berkuat-kuasa semalam.
Ketua Penerangannya, Hairul Izam Abd Samat berkata, keputusan itu
dibuat setelah pihaknya mengkaji dan meneliti beberapa perkara.
"Kami menolak keputusan ini kerana pemecatan tersebut dibuat tanpa
mengikut prosedur sepatutnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan
parti Fasal 20 Disiplin.
"MT dan Perlembagaan Umno disalah guna oleh Presiden dengan
mengenepikan amalan demokrasi dalam parti di mana Tan Sri Muhyiddin
tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak daripada
awal penggantungan beliau.
"Selain itu, pemilihan Tan Sri Muhyiddin dalam jawatan berkenaan
sebelum ini dibuat berdasarkan sokongan daripada ahli parti seluruh
negara. Jadi kami sebagai ahli berasa dikhianati dengan keputusan MT,"
katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno
Bahagian Pagoh sebentar tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Umno Johor akur keputusan pecat Muhyiddin]
Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang sebelum ini menegur Presiden adalah
bertujuan memperkukuhkan parti yang bukan digunakan untuk kepentingan
peribadi.
"Segala kenyataan Tan Sri Muhyiddin berhubung salah laku dan jenayah
yang dilakukan oleh presiden adalah berdasarkan daripada laporan
berintegriti daripada agensi kerajaan.
"Maka, tindakan MT memecat Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa
kecewa dan tidak puas hati kepada ahli Umno Bahagian Pagoh serta
merosakkan perpaduan dan keutuhan parti," katanya.
No comments:
Post a Comment