Veteran Umno itu berkata ini kerana parti yang menunggu pendaftaran rasmi itu dinaungi nama kuat politik negara.
PETALING
JAYA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi amaran
kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya tidak mengambil ringan
kebolehan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunggu
kelulusan permohonannya.
Ini kerana parti tersebut dinaungi nama kuat politik negara termasuk
bekas perdana menteri selama 23 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas
timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tokoh yang
masih disanjungi rakyat.
“Oleh itu, Bersatu mampu menjadi pencabar utama Umno pada PRU14
nanti,” kata Tengku Razaleigh atau Ku Li, yang pernah memimpin parti
serpihan Umno, Semangat 46 pada tahun 1990-an, dipetik Sinar Harian hari
ini.
“Amaran ini ditujukan kepada semua parti terutamanya Umno. Jangan
ambil mudah kerana parti ini (Bersatu) boleh jadi gagah. Ini semua,
lawan yang mahu mencabar kedudukan Umno.”
Peringatan Razaleigh itu dilihat senada dengan Ketua Pemuda BN Khairy
Jamaluddin, yang baru-baru ini menasihati Umno tidak memandang enteng
penubuhan parti serpihan yang menyasarkan penyokongnya.
Kuli menubuhkan Semangat 46 selepas perpecahan dalaman Umno susulan
pertandingan jawatan presiden yang dimenang tipis Dr Mahathir ketika
itu.
Semangat 46 disokong pemimpin puak “Team B” Umno pimpinan Ku Li,
menjalinkan kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil lain, sehingga
membawa kepada kejayaan Pas menjatuhkan pemerintahan Umno di Kelantan
pada 1990.
Parti itu bagaimanapun dibubarkan pada 1996 selepas Ku Li menyertai semula Umno.
Pada 9 Ogos, Muhyiddin secara rasmi menyerahkan permohonan mendaftarkan Bersatu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Bekas timbalan presiden Umno itu yang digugurkan daripada Kabinet
tahun lalu, berkata keahlian parti baharu itu dibuka kepada semua kaum
Melayu, Orang Asli dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, manakala bukan
Melayu dipelawa menyertainya sebagai ahli bersekutu.
No comments:
Post a Comment