25/8/16
Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk
tempoh reman empat hari yang tamat hari ini dilanjutkan, Namewee
dibebaskan petang tadi.
VIDEO INSIDE
GEORGE TOWN: Penyanyi rap kontroversi dan terkenal di YouTube,
Namewee kini bebas selepas polis gagal mendapatkan perintah lanjutan
reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, ditahan reman empat hari
lalu bagi membantu siasatan kerana “mencemar tempat sembahyang dengan
niat menghina agama”.
Terdahulu, dia dibawa ke kompleks mahkamah di George Town pada 8.30
pagi, dengan tangannya bergari di belakang dan diiringi 2 pegawai polis.
Selepas keputusan dibuat pada 12.10 tengah hari, peguam T Tharuma
yang mewakili Namewee memberitahu wartawan, Penolong Pendaftar Mahkamah
Ahmad Tajudin Zaini tidak menolak permohonan polis untuk melanjutkan
reman.
Tharuma berkata Tajudin memerintahkan Namewee dibebaskan serta-merta.
Tetapi penyanyi rap itu sebaliknya dibawa polis dengan menaiki sebuah
kereta Proton Preve.
“Mereka masih menahannya dan membawanya ke balai polis Jalan Patani.
Polis tidak mahu beritahu mengapa dia dibawa ke sana,” kata Tharuma.
Peguam itu berkata Namewee dijangka dibebaskan pada jam 5 petang
tetapi bebas lebih awal, selepas tamat tempoh reman empat hari yang
dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Mior Faridalathrash Wahid
berkata Namewee dibawa ke balai polis berkenaan untuk dibebaskan dengan
jaminan polis.
“Untuk makluman anda, kami sudah merujuk kes itu kepada pengarah
pendakwaan dan kemudian ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk
arahan seterusnya,” kata Mior dalam satu kenyataan.
Penyanyi berusia 33 tahun itu ditahan sebaik saja mendarat di
Lapangan Terbang Antarabangsa KL dari Taiwan pada 21 Ogos, dan kemudian
dibawa ke Pulau Pinang di mana dia ditahan polis.
Mior Faridalathrash berkata tahanan itu adalah sebahagian daripada
siasatan terhadap klip video kontroversi Namewee berjudul “Oh My God”.
Klip video berdurasi 4.05 minit diarah dan diterbitkan oleh Namewee
untuk sebuah kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One dirakam di beberapa
tempat ibadat di Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment