"Saya seorang tahanan ISA untuk disoal siasat pada
1987 ketika Operasi Lalang dan saya yakin Dr Mahathir yang mengeluarkan
arahan untuk penahanan itu," kata Tajuddin.
GEORGE TOWN: Penafian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu
menandatangani surat penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) adalah satu pembohongan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk
Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata Dr Mahathir yang cuba membersihkan namanya berhubung
isu berkenaan tidak boleh diterima kerana hanya Menteri Dalam Negeri,
yang ketika itu disandang bekas perdana menteri itu, yang berkuasa
mengeluarkan arahan penahanan tersebut.
Beliau berkata tindakan Dr Mahathir yang cuba mengalihkan
tanggungjawab berkenaan kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob adalah tidak adil.
“Saya seorang tahanan ISA untuk disoal siasat pada 1987 ketika
Operasi Lalang dan saya yakin Dr Mahathir yang mengeluarkan arahan untuk
penahanan itu.
“Sebagai tahanan, saya diberitahu selagi Menteri Dalam Negeri tidak
menandatangani surat perintah bebas dalam tempoh 60 hari, saya tidak
boleh dibebaskan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian
persidangan perwakilan Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Bayan
Baru di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Dr Mahathir menafikan dakwaan yang mengaitkan
namanya sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu menandatangani
surat penahanan ISA.
Dr Mahathir berkata Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid iaitu
anak kepada Allahyarham Megat Junid lebih mengetahui berhubung dakwaan
tersebut.
Megat Fairouz sebelum ini, meminta Dr Mahathir berhenti mendakwa
arwah bapanya sebagai individu yang bertanggungjawab menandatangani
perintah tahanan ISA sepanjang 11 tahun menjadi Timbalan Menteri Dalam
Negeri.
Perkara itu timbul berikutan baru-baru ini, beberapa blog menyiarkan
kenyataan bekas perdana menteri itu yang mendakwa tindakan penahanan ISA
bukan dilakukan olehnya tetapi oleh Megat Junid.
Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuka fail lama mereka bagi memberi
pengesahan kepada isu tersebut sekiranya perkara itu berlarutan.
“Kesemua persoalan akan terjawab sekiranya KDN atau PDRM dapat
membuka fail lama mereka untuk menjelaskan perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata cubaan Dr Mahathir untuk ‘mengasingkan diri’ dengan
ISA berkemungkinan disebabkan jalinan politiknya dengan pihak
pembangkang seperti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.
“Dia (Dr Mahathir) cuba membersihkan namanya dengan ISA kerana ketika
ini dia sedang bekerjasama dengan pembangkang, jadi dia tolak
tanggungjawab itu kepada orang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment