Ini kerana belum ada presiden Singapura dari kalangan masyarakat Melayu negara itu sejak 1970.
PETALING JAYA: Presiden Singapura yang akan datang kemungkinan besar
seorang berbangsa Melayu sekiranya pindaan perlembagaan seperti yang
dicadangkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menjadi kenyataan.
Lee dalam wawancara bersama media republik itu semalam mencadangkan
mekanisme bagi memastikan kalangan minoriti diangkat menjadi calon
bertanding jawatan presiden.
Menurutnya, sekiranya presiden tidak dilantik dari sesuatu kaum untuk
beberapa penggal berturut-turut, peruntukan khas boleh digunakan bagi
memastikan seseorang dari komuniti itu diangkat sebagai calon.
“Dengan cara ini, anda boleh mendapat seorang presiden Melayu atau India,” kata Lee dipetik The Straits Times hari ini.
Kali terakhir seorang presiden di kalangan Melayu menduduki jawatan
itu ialah untuk penggal 1965-1970, iaitu Yusof Ishak yang wajahnya
tertera di mata wang dolar Singapura, presiden pertama republik itu
selepas berpisah daripada persekutuan Malaysia.
Beliau digantikan Dr Benjamin Sheares, seorang berbangsa serani, dan
disusuli Devan Nair sebagai presiden ketiga. Empat presiden lain
Singapura sejak itu ialah Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong, S.R. Nathan dan
kini Tony Tan Keng Yam yang akan mengakhiri jawatannya pada Ogos tahun
depan.
Ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan bulan lalu, Lee
membayangkan pindaan perlembagaan bagi membolehkan kaum minoriti seperti
Melayu dan India dilantik menjadi presiden dari semasa ke semasa.
Jawatan presiden Singapura yang sekadar simbolik dan tidak mempunyai
kuasa politik seperti perdana menteri, mula dipertandingkan sejak 1993.
Lee mengakui mustahil calon dari kalangan bukan Cina boleh menang di bawah sistem pilihan raya yang diamalkan di Singapura.
Menurutnya, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar menjadi hiasan, tetapi langkah tepat demi masa depan Singapura.
“Ia simbolisme yang amat perlu sebagai sebuah masyarakat berbilang
bangsa, sebagai mewakili Singapura dan impian kita,” katanya semalam.
Kira-kira 74% rakyat Singapura terdiri daripada keturunan Cina, diikuti Melayu (13%) dan India (9%).
PAUTAN
No comments:
Post a Comment