Ia selepas Syed Saddiq disiasat kerana surat terbukanya kepada Sultan Johor berhubung demonstrasi jalanan.
PETALING JAYA: Selepas suratnya mempersoalkan larangan Sultan Johor
mengadakan demonstrasi di negeri itu, pemimpin muda Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abul Rahman semalam menerima
nasihat daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas pertemuan di
istana unik yang diinspirasikan daripada siri kartun Flinstone.
Saddiq yang mengetuai sayap pemuda PPBM itu turut memuat naik
sekeping gambar menunjukkan Sultan Johor selesa berpakaian baju T sambil
duduk di istana bertemakan zaman purba ala-Flinstone di Mersing, Johor.
“Sebelum patik tiba di Istana Flinstone secara jujurnya, patik cukup
takut dan risau. Bukan kerana takut akan dikenakan tindakan berkenaan
surat tempoh hari.
Tapi risau sekiranya memang benar surat itu
menyinggung perasaan DYMM Tuanku,” tulis Saddiq menceritakan
pertemuannya.
“Namun, selepas berpeluang menghadap DYMM Tuanku, patik dapati bahawa
Tuanku merupakan seorang Sultan yang berjiwa rakyat. Sangat memahami
diri kecil patik, rakyat biasa.”
Menurut Saddiq, pertemuan itu diatur oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Baginda Tunku mempunyai impian dan perancangan tentang segala apa
yang dititahnya. Bola sepak, kesepakatan Bangsa Johor dan masa depan
anak muda Johor,” tulis Saddiq dalam catatan menghargai keluarga diraja
itu.
“Patik sejujurnya amat terharu dan berasa rendah diri apabila DYMM
Tuanku bersama seisi keluarga diraja sudi bercemar duli berjumpa patik
dan meluangkan masa hampir seharian bersama patik, rakyat biasa.
“Memang benar kata orang dulu-dulu, raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.
Saddiq sebelum ini disoal siasat polis selepas surat terbuka dimuat
naik di laman Facebooknya, mengkritik larangan mengadakan demonstrasi di
Johor yang dititahkan Sultan Johor.
Ia susulan laporan yang memetik kenyataan Sultan Johor sebagai tidak
membenarkan sebarang tunjuk perasaan jalanan diadakan di Johor.
“Ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab bagi mereka untuk
berkumpul di tempat awam dan menghina pemimpin dan individu tertentu.
“Saya ingin menegaskan yang beta tidak akan membenarkan sebarang jenis demonstrasi diadakan di Johor,” menurut laporan The Star.
No comments:
Post a Comment