SPRM berkata siasatan kini memasuki fasa terakhir
dan dijangka siap dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan
dikemukakan pada Jabatan Peguam Negara.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menganalisis 8,000 baucar dan fail seberat 12 tan dalam siasatan
berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan sebuah agensi kerajaan
negeri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata
siasatan kini memasuki fasa terakhir dan dijangka siap dalam masa
terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan pada Jabatan Peguam Negara.
SPRM mengambil tempoh sebulan untuk menganalisis baucar pembayaran mulai 2008 hingga 2016.
“Baucar itu diekstrak daripada fail yang mengandungi puluhan ribu
dokumen melibatkan dokumen tuntutan pembayaran keseluruhan jabatan
kerajaan negeri Sabah.
“Dianggarkan keseluruhan berat fail yang dianalisis dan disemak itu mencecah sehingga 12 tan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azam berkata proses siasatan tersebut dilakukan secara teliti dan
mendalam bagi melihat pelbagai aspek perundangan dengan penglibatan 137
pegawai SPRM dari Ibu Pejabat, bahagian serta negeri lain.
SPRM, katanya amat serius dalam penyiasatan isu rasuah khususnya yang
melibatkan kepentingan rakyat namun memerlukan masa yang mencukupi bagi
memastikan semua bukti dapat dikumpul agar tidak wujud sebarang masalah
ketika prosiding di mahkamah.
Beliau berkata SPRM mendapat perintah reman ke atas 28 individu
melibatkan seorang bekas pengarah, 2 bekas timbalan pengarah, 23
jurutera dan juruteknik serta 2 orang awam yang mempunyai kaitan dengan
kes terbabit.
SPRM juga merakamkan percakapan lebih 200 saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan sejak 4 Oktober lalu.
Sepanjang tempoh operasi, SPRM turut merampas, menyita serta
membekukan harta bernilai kira-kira RM114.5 juta terdiri daripada wang
tunai, akaun bank, amanah saham serta aset alih dan tidak alih dalam dan
luar negara.
FMT
No comments:
Post a Comment