Ia susulan laporan yang mengatakan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri tunjuk perasaan besar-besaran
membantah keganasan di wilayah Rakhine.
PETALING JAYA: Myanmar meminta Malaysia supaya jangan masuk campur
hal dalaman mereka susulan laporan yang mengatakan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak akan menghadiri tunjuk perasaan besar-besaran
membantah keganasan di wilayah Rakhine.
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden U Zaw Htay meminta Malaysia
supaya menghormati kedaulatan negara mereka dan prinsip tidak mencampuri
hal dalaman negara Asean.
“Kami patuh dan menghormati prinsip itu. Kami berharap kerajaan Malaysia juga mematuhinya,” kata Zaw Htay kepada Myanmar Times.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini
mengumumkan suatu tunjuk perasaan yang akan dihadiri pimpinan negara,
termasuk perdana menteri, akan diadakan pada Ahad bagi menyuarakan
kebimbangan akan keganasan ke atas Rohingya di Myanmar.
Zahid berkata Malaysia tidak akan berpeluk tubuh sementara ribuan
Rohingya yang tidak bersalah dibunuh dalam pembersihan etnik yang
dibenarkan pemerintah mereka.
Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak berniat untuk mencampuri hal
domestik Myanmar, tetapi kekejaman oleh negara anggota Asean tidak boleh
dibiarkan, terutamanya apabila negara lain, Malaysia khususnya,
terpaksa menanggung beban menjaga Rohingya yang mencari perlindungan.
Sejak Oktober terdapat 135,475 pelarian Myanmar di Malaysia merangkumi Rohingya, Chin dan etnik lain.
Tunjuk perasaan itu menyusuli pembatalan saat-saat akhir 2 perlawanan
bola sepak menentang Myanmar pada 30 November lalu, yang dijadulkan
berlangsung pada 9 dan 12 Disember ini, ekoran krisis di Rakhine.
Pada 25 November, kementerian luar negeri mengecam keganasan yang
berlaku dan menyeru pemerintah Myanmar supaya mengambil langkah
menangani pembersihan etnik di utara wilayah Rakhine yang didakwa itu.
Minggu lepas, kira-kira 1,000 Rohingya berhimpun menunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
Zaw Htay menuduh tunjuk perasaan itu merupakan keputusan politik yang
diatur untuk menarik sokongan rakyat Malaysia dan tidak ada kaitan
dengan Myanmar.
“Kami akan memanggil duta Malaysia berkenaan tunjuk perasaan itu dan
untuk mengetahui sama ada perdana menteri Malaysia akan menghadirinya.
Jika ya, kami akan pantau acara itu,” katanya.
Zaw Htay berkata tunjuk perasaan di Malaysia menyebabkan pemerintah
Myanmar berasa bimbang akan keselamatan warganya yang berada di negara
ini.
“Warga Myanmar perlu berhati-hati dan diminta jangan bergerak tanpa ditemani.”
KAMI SOKONG PM
No comments:
Post a Comment