Dengan PRU14 dijangka diadakan tahun ini, DAP
memperbaharui janjinya untuk menghapuskan GST dan kutipan tol jika
Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
Setiausaha agung DAP itu berkata jika diberi peluang untuk mengawal
kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan akan melaksanakan kedua-dua
langkah itu bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.
Guan Eng berkata GST 6% menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi
kepada rakyat, bukannya “menyelamatkan Malaysia” seperti didakwa Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, rakyat juga tidak perlu terus menerus membayar tol kepada
PLUS, yang dibina dengan kos RM5.9 bilion, memandangkan pemegang konsesi
sudah pun mengutip tol bernilai RM37.4 bilion sepanjang tempoh 3 dekad
lalu.
“Jika kita mahu turunkan harga, Barisan Nasional (BN) perlu turun ke bawah,” katanya.
Bercakap di hadapan kira-kira 1,200 orang di majlis makan malam DAP
bahagian Balik Pulau bagi meraikan ulang tahun ke-50 parti malam tadi,
Guan Eng sekali lagi menyalahkan 1MDB sebagai punca masalah ekonomi
negara dan jatuhnya nilai ringgit.
Mendesak supaya semua yang bertanggungjawab terhadap kontroversi itu
ditahan dan disiasat, Guan Eng berkata rasuah ialah salah satu punca
mengapa kerajaan kekurangan dana.
“Ekonomi sekarang mencabar dan lebih teruk kerana kerajaan persekutuan kekurangan wang.
“Dana untuk pendidikan dan hospital dipotong. Malah, kerajaan tidak
beri pun RM50 yang dijanjikan kepada sekolah Cina dalam Bajet 2016.
“Anda tahu betapa kecilnya RM50 juta kepada kerajaan persekutuan? Ia hanya 0.02% daripada bajet itu.
Kerajaan Pulau Pinang pun boleh pinjamkan mereka jumlah itu,” katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang.
Banteras rasuah
Guan Eng berkata rasuah perlu ditangani, dan itu sebabnya DAP
bekerjasama dengan parti pembangkang lain, termasuk Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
“Orang tanya saya bagaimana saya boleh bekerja dengan Tun M sedangkan
dia pernah penjarakan bapa saya 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri. Dia penjarakan saya juga.
“Tetapi Dr Mahathir kata meskipun dia lakukan perkara yang orang
tidak setuju sebelum ini, dia tidak ada RM2.6 bilion dalam akaun
peribadi,” katanya.
Wang itu dikatakan derma daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi,
dengan sejumlah besar bakinya yang tidak digunakan sudah dipulangkan
semula. Peguam negara kemudian membersihkan Najib daripada sebarang
salah laku, tetapi pembangkang tetap tidak yakin.
Perubahan masih boleh berlaku
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata meskipun ada
penganalisis dan pakar ekonomi berpendapat BN akan kekal di Putrajaya
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang dijangka penghujung tahun
ini, masih boleh untuk kerajaan bertukar.
“Mengubah kerajaan tidak mudah, tetapi ia bukan misi yang mustahil,” kata Kit Siang, mendesak rakyat bersatu demi perubahan.
Naib Presiden DAP dan Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata
masih ada harapan jika DAP bekerjasama dengan parti lain untuk
mengukuhkan pembangkang.
“Kita bekerjasama dengan yang lain-lain sejak 1980-an, sehingga kita
menubuhkan Pakatan Harapan dengan PKR dan Amanah hari ini. Kini kita
juga bekerja dengan PPBM,” katanya.
Chow berkata pembangkang juga mengintai 3 kerusi Parlimen di Pulau
Pinang yang masih dipegang BN iaitu di Balik Pulau, Tasek Gelugor dan
Kepala Batas.
“Bagi menawan Putrajaya, setiap kerusi penting. Kita tahu Umno dan BN
masih kuat dan mereka akan buat apa saja untuk mengekalkan kuasa.
“Kita mesti mengekalkan semua kerusi dimenangi dan ambil kerusi yang
kita kalah pada PRU lepas,” katanya, menjanjikan sokongan DAP kepada
sekutunya yang akan bertanding menentang BN pada PRU14.
Chow berkata Pulau Pinang ialah contoh terbaik bagaimana kerajaan
Pakatan akan memegang tampuk pemerintahan dengan lebih baik berbanding
penyandangnya.
Pada PRU13, Pakatan menang 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau
Pinang. Pakatan menang 30 daripada 40 kerusi DUN di negeri itu untuk
kekal memegang kerajaan negeri, sementara baki 10 kerusi milik Umno.
No comments:
Post a Comment