25/2/17
Sekumpulan orang mendakwa akar umbi PAS Selangor hari ini menghantar
memorandum kepada kepimpinan PAS bagi mendesak parti itu memutuskan
hubungan dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan DAP dan Parti
Amanah Negara (AMANAH).
Mereka menuntut PAS mengambil perhatian terhadap hubungan antara
parti itu dengan PKR yang kini disifatkan bagai "duri dalam daging"
serta "gunting dalam lipatan".
"PRU14 (pilihan raya umum ke-14) hampir tiba. Sebagai petugas parti
kami berasakan sudah sampai masanya PAS berdiri tanpa diganggu oleh
parti lain yang sarat dengan masalah keperibadian serta ketamakan kuasa
yang agak melampau.
"PKR juga wajar diambil perhatian kerena mereka ibarat duri dalam daging serta gunting dalam lipatan.
"Kami agak kurang selesa dengan PKR kini. Kebencian telah mulai
dirasai," kata Nasiruddin Mohamed yang mengetuai penyerahan memorandun
di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Memorandum tersebut diterima Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan yang juga anggota parlimen Temerloh.
Pada penyerahan memorandum itu juga kumpulan terbabit membawa
sepanduk memaparkan wajah pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) serta
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Satu daripada sepanduk itu memaparkah wajah Lim Kit Siang dengan
kata-kata: "Musuh Melayu/Islam (Rasis), manakala yang lain menggunakan
gambar bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan
ayat iringan "Punca Rumah Tangga Aku Hancur".
Masih dalam perkiraan
Dua lagi sepanduk memaparkan wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dan
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dengan masing-masing bertulis "Kepala
Perompak Negara" serta "Pengkhianat Parti".
Minggu lalu, ketika mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS membincangkan
kemungkinan untuk bekerjasama dengan BERSATU, Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bercakap selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang, Abdul
Hadi menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk
mempunyai hubungan dengan DAP dan parti serpihannya, AMANAH.
Sementara itu Nasrudin yang ditemui pemberita berkara apa yang
dibangkitkan oleh akar umbi PAS Selangor itu akan diputuskan dalam
muktamar PAS pada April ini di Kedah.
"Sememangnya PAS telah mempunyai satu keputusan yang jelas kita tidak ada lagi hubungan dengan DAP dan AMANAH.
"Ada pun parti-parti lain itu masih dalam perkiraan, pertimbangan dan
penelitian teliti daripada pihak PAS terutamanya apa yang disebut
presiden ia mungkin akan dibincangkan dalam muktamar PAS yang akan
berlangsung pada 28 April depan," katanya.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata sehingga kini PAS masih berbincang
sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PKR dan BERSATU atau tidak.
"BERSATU ini parti baru yang belum ada apa-apa hubungan jadi kita tak
boleh samakan dengan PKR yang kita dah meterai (kerjasamanya) lama dulu
dan hanya perlu semakan untuk teruskan atau tidak. Itu terpulang kepada
muktamar dan Majlis Syura Ulamak," katanya.
No comments:
Post a Comment